Make Tea bersama Pokya Cong Codei

Make Tea bersama Pokya Cong Codei

Sabri (tengah) bersalam dengan Azran selepas sidang media khas itu.

KOTA BHARU – Buat julung kalinya, Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) akan menganjurkan program santai bersama pelakon terkenal Sabri Yunus atau Pakya Cong Codei di Hotel Grand Riverview, 22 Febuari ini.

Presiden KEMUDI, Azran Fitri Ab Rahim berkata, majlis yang dinamakan “Make Tea bersama Pokya Cong Codei, Sengoti atau Lipak” ini membuka ruang kepada peminat setia pelakon itu untuk bermesra dan bertanya khabar Sabri yang kini semakin popular dengan gelaran Pokya tersebut.

“Program ini juga adalah untuk menaikkan martabat budaya Kelantan. Ia sekaligus mengetengahkan Sabri sebagai anak Kelantan yang berjaya membuka mata ramai pihak mengenai idea penghasilan cerita yang bersifat kebudayaan tersebut,”katanya dalam sidang media khas majlis tersebut disini.

Turut hadir, Pengurus Jualan dan Pemasaran Hotel GRV, Raja Rusmin Raja Mahmud dan Ketua Pegawai Eksekutif Purity Petroil Resources Sdn Bhd, Mohd Zaidi Ismail.

Menurutnya, untuk penganjuran kali ini, KEMUDI turut mendapat kerjasama daripada rakan strategik KEMUDI iaitu Hotel Grand Riverview, selain syarikat Purity Petroil Resources Sdn Bhd.

Beliau berkata, penyertaan dibuka kepada semua rakyat Kelantan dan bayaran yang dikenakan hanyalah RM50 sahaja.

“Kita bagi peluang kepada semua peminat untuk bertanya khabar dengan Sabri pada majlis itu, selain Sabri sendiri akan mengupas dengan lebih terperinci mengenai telemovie Pokya Cong Codei tersebut.

“Saya yakin program dua jam itu nanti akan memberi ruang yang cukup kepada semua peminat untuk berbicara secara ilmiah dan santai dengan Sabri,”katanya.

Sementara itu, Sabri dalam sidang media yang sama turut berkongsi, watak Pokya Cong codei yang kini hangat ditularkan telah melonjakkan namanya selepas berpuluh tahun hidup dalam industri ini.

Bagaimanapun, Sabri hanya menganggap ia sebagai satu fenomena biasa yang bersifat sementara, dan pernah dialaminya sewaktu membawa watak Wan Ismail Golok satu masa dulu.

“Saya sejak dulu lagi membawa diri saya sebagai Sabri Yunus, bukan Wan Ismail Golok dan sebagainya. Itu jati diri saya dan membawa langkah saya lebih jauh dalam industri ini.

“Walaupun orang mengenali saya dengan pelbagai nama, tapi saya tetap Sabri Yunus. Saya akan berkongsi banyak lagi tentang watak dan cerita disebalik watak Pokya yang saya lakonkan itu pada majlis Make Tea nanti, Insyaa-ALLAH,”katanya.

Program tersebut akan bermula jam 2 petang sehingga 4 petang di Hotel Grand Riverview. Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertainya, anda boleh menghubungi Abe Ya di talian 018-9009259 untuk sebarang maklumat lanjut.

Sumber: Sinar Harian