IQ Anak Kelahiran Malaysia Ini Melebihi IQ Stephen Hawking

IQ Anak Kelahiran Malaysia Ini Melebihi IQ Stephen Hawking

Dalam artikel yang lalu iluminasi.com banyak berkongsi mengenai tahap IQ, dan apakah kepentingan IQ. Malaysia berada di tangga ke-15 dunia berkongsi kedudukan dengan Ireland dan Greece, dengan purata IQ sebanyak 92.

Rekod tahap IQ paling tinggi di Malaysia ketika ini dipegang oleh Dr. Looi Hoong Thoong, orang yang bertanggungjawab mencipta perisian anti-virus V-Buster, dengan IQ 180. Rekod itu sebelum ini dipegang oleh Chiang Ti Ming, dengan IQ 181, namun beliau telah meninggal dunia pada tahun 2007 ketika berusia 31 tahun.

Namun, terdapat seorang lagi warga Malaysia, yang mana kini diberikan gelaran remaja paling pintar di Australia. Beliau adalah Sharvin Jeyendran, yang kini menetap di Australia, dengan IQ 168, iaitu 8 mata lebih tinggi daripada ahli fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking.

Komuniti tinggi IQ, Mensa telah dicalonkan sebagai kanak-kanak paling pintar di Australia selepas IQ yang ditunjukkan Sharvin menjadikannya tergolong dalam 2% manusia paling pintar di dunia.

Menurut ibu bapanya, beliau adalah seorang yang genius secara semulajadi kerana tidak pernah dipaksa secara akademik. Kanak-kanak genius yang berusia 15 tahun ini kini bersekolah di Sacred Heart College, Western Australia, Australia dan merupakan anak kepada pasangan peguam, Jeyendran Ramachandran dan Deva Menon. Pasangan suami isteri ini menamatkan pelajaran jurusan undang-undang di United Kingdom.

Mereka sekeluarga berpindah ke Australia pada Januari 2015. Kepintaran Sharvin mula dikesan pada awal usia di mana beliau sudah mampu berjalan dan bertutur ketika berusia 9 bulan. Menurut ibunya, Sharvin sudah boleh bertutur seperti kanak-kanak normal menggunakan ayat dan tatabahasa yang lengkap, ketika berusia lingkungan 2 hingga 3 tahun.

“Kami menggalakkannya, dan otak kanak-kanak seperti span yang mampu menyerap apa sahaja,” jelas ibunya.

Sharvin bukan sahaja pintar dalam akademik seperti mendapat markah tertinggi dalam semua subjek di sekolah, beliau juga pandai bermain piano, fasih berbahasa Perancis. Beliau juga mewakili Australia dalam Kejohanan Scrabble Remaja Dunia.

Bercita-cita tinggi, Sharvin memberitahu bahawa beliau ingin menjadi seorang saintis biologi, dan mahu mencari penawar kanser.

“Saya juga mahu menjadi seorang ahli biologi marin dan meneroka lautan, dan juga mahu mempunyai organisasi amal untuk membantu orang miskin di seluruh dunia,” jelas kanak-kanak genius ini.

Menurut pegawai rekrut Mensa Australia, Geoff Russell, kanak-kanak yang lebih pintar dan mempunyai prestasi melebihi rakan sebaya mereka akan sukar untuk menyesuaikan diri. Mereka akan berasa terasing dan mula untuk menidakkan kepintaran sendiri kerana tidak mahu kelihatan pelik di sekolah.

Namun, ia tidak berlaku kepada Sharvin. Walaupun merupakan antara manusia terpintar di dunia, Sharvin masih menjalani kehidupan seperti remaja yang lain seperti bermain bola keranjang dan bola sepak di halaman rumahnya.

“Saya sangat gembira mempunyai IQ yang tinggi, namun saya masih mempunyai ramai kawan, dan bergaul dengan semua orang.

Adik perempuan Sharvin iaitu Shireeya yang berusia 10 tahun merupakan seorang yang genius dalam bidang muzik, yang mula bersenandung (humming) seawal 6 bulan, dan mula menyanyi ketika berusia 18 bulan.

Rujukan :

1. Reader’s Digest

2. WA Today

3. Daily Telegraph

Sumber: Iluminasi

Mydin – Kisah Bagaimana Daripada Sebuah Kedai Runcit Menjadi Empayar Hypermarket

Mydin – Kisah Bagaimana Daripada Sebuah Kedai Runcit Menjadi Empayar Hypermarket

Siapa tak kenal dengan Mydin Mohamed Holdings. Ia merupakan syarikat perniagaan dan borong yang terbesar di Malaysia. Dengan slogan terkenal, “Mengapa bayar lebih? Belilah dengan harga borong”, pasaraya besar Mydin kini dianggap sebagai tempat utama untuk membeli belah, dengan keuntungan tahunan mencecah RM2.6 billion.

Ia merupakan hasil usaha pengasasnya, Allahyarham Mydin Mohamed dengan bantuan ahli keluarganya, yang menjadikan nama Mydin dikenali di serata Malaysia.

Namun, setiap kejayaan pasti ada pengorbanan dan cabaran tersendiri. Dan bagi setiap yang di atas, pasti bermula dari bawah. Begitu juga dengan Mydin. Dan walaupun pengasas Allahyarham Mydin Mohamed telah pergi meninggalkan kita pada tahun 2016, namun ia legasi ditubuhkannya sangat bermanfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sejarah awal Mydin

Pengasasan pasaraya Mydin bermula hampir 100 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1918 oleh bapa beliau, Gulam Husen Bin Jamal. Datuk kepada Mydin Mohamed iaitu Jamal, serupakan seorang imigran Muslim dari India. Pada tahun 1928, Mydin Mohamed dilahirkan di Pulau Pinang. Perniagaan runcit keluarga mereka bermula pada tahun 1940 di pasar malam.


pengasas mydin

Namun malang sekali kedai tersebut telah dibakar ketika Perang Dunia Kedua melanda dan membuatkan keluarga mereka kehilangan segala-galanya. Tragedi itu walaubagaimanapun tidak mematahkan semangat Mydin. Beliau semakin bersemangan dan dengan keazaman, kesungguhan dan kepercayaan yang ada, beliau meneruskan perniagaan borong tersebut.

Mydin Mohamed berkahwin ketika beliau berusia 21 tahun, dengan seorang gadis dari India, bernama Roshwan Bai. Perkongsian hidup pasangan ini dikurniakan anak seramai 7 orang, 4 daripadanya lelaki dan 3 perempuan.


Mydin pertama di jalan Tok Hakim Kota Bharu

Ketika berusia 29 tahun, berbekalkan modal yang ada, Mydin Mohamed membuka kedai runcit pertamanya pada tahun 1957. Kedai kecil yang hanya berdindingkan kayu itu diberi nama Syarikat Mydin Mohamed, terletak di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu, Kelantan. Mydin memulakan perniagaan dengan menjual mainan kanak-kanak dan barangan am.

Beliau yang tidak keseorangan dan dibantu oleh anak-anaknya. Berkat kesabaran dan percaturan perniagaan yang baik, bisnes Mydin mula melebarkan sayap ke Terengganu pada tahun 1979. Pada tahun 1987, anak kedua Mydin Mohamed iaitu Datuk Ameer Ali, menyertai Syarikat Mydin Mohamed.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana dalaam Perniagaan Antarabangsa dari Sonoma State University, California bekerja di Arab Malaysian Merchant Bank terlebih dahulu sebelum menyertai perniagaan keluarga.

Dan pada tahun 1989, nama Mydin telah dibawa ke Lembah Klang apabila cawangan di Jalan Masjid India dibuka. Pembukaan cawangan ini merupakan satu titik tolak perubahan industri peruncitan di Malaysia dan permulaan kejayaan Mydin Mohamed Holdings. Cawangan di Jalan Masjid India mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan.

Ini memberikan keyakinan kepada Datuk Ameer yang kini CEO syarikat ini, untuk membuka pasaraya besar Mydin pertama di Subang Jaya. Namun ia tidak semudah itu. Walaupun perniagaan mereka kelihatan berjaya, namun tidak mudah untuk mendapatkan pembiayaan dari bank untuk membina Mydin Subang Jaya.

Tiada bank mahu beri pinjaman untuk luaskan perniagaan

Menurut Datuk Ameer, tiada satu bank pun mahu memberikan pinjaman ketika mereka mahu membuka Mydin Subang Jaya. “Ia adalah satu kerja gila untuk membuka sebuah pasaraya besar berdekatan dengan pasaraya yang sudah kuat dan terkenal (Giant). Bagaimana anda mahu bersaing dengan syarikat sebesar itu?”, kata pihak bank kepada beliau.

Datuk Ameer juga diingatkan oleh pihak bank bahawa ia adalah satu risiko besar untuk membuka cawangan di Subang Jaya kerana Mydin terkenal dengan barangan murah dan pasarannya terhad kepada kawasan berpendapatan rendah seperti di Jalan Masjid India dan bandar-bandar kecil.

Namun apa yang dijawab oleh Datuk Ameer sangat bernas. “Orang Malaysia suka pergi pasar malam kan? Kenapa? Kerana barangannya murah. Saya tinggal di Bangsar yang merupakan kelas pertengahan (ketika itu). Pernah tak anda pergi ke pasar malam di situ? Orang masih mahukan belian yang baik,”.


Mydin Subang Jaya pasaraya besar pertama Mydin

Tak berputus asa mendapatkan dana selepas ditolak oleh beberapa buah bank, beliau akhirnya mendapat pinjaman daripada Bank Arab-Malaysian Berhad. Terbukti gerak hati beliau kuat, pasaraya Mydin Subang Jaya mendapat sambutan, dan selepas setahun beroperasi mereka terpaksa menambah tempat letak kereta untuk menampung jumlah pelanggan.

“Belajar dari kesilapan dan teruskan perjuangan. Sesebuah organisasi tak akan berkembang jika takut untuk melakukan kesalahan,” – Datuk Ameer Ali Mydin

Kejayaan itu menjadi satu batu loncatan kepada Datuk Ameer dan kumpulan syarikat Mydin untuk memperluaskan lagi empayar mereka. Kini pihak bank sudah mempercayai pelan perniagaan yang dibawa oleh Mydin, tiada halangan lagi untuk Datuk Ameer membuka cawangan demi cawangan bermula daripada pasaraya besar sehinggalah kedai runcit dan pasaraya mini, mengikut lokasi.

Apa yang hanyalah sebuah kedai runcit berdindingkan kayu kini telah bertukar menjadi perniagaan pasaraya besar bernilai bilion ringgit. Bermula dengan dirinya sendiri, Mydin Mohamed, dan juga bantuan isteri serta anak-anaknya, kini kumpulan syarikat ini mempunyai lebih daripada 6,500 pekerja dengan perolehan tahunan sebanyak RM3 billion.

Dan daripada hanya menjual mainan kanak-kanak, barangan rumah dan runcit, kini Mydin meniagakan hampir setiap aspek perniagaan peruncitan.

Segala pengorbanan dan kegigihan kini terbalas apabila Mydin Mohamed Holdings kini mempunyai lebih daripada 270 buah kedai, termasuklah 18 pasaraya besar, 16 emporium, 3 bazaar, 48 pasar mini, 8 kedai serbaneka (MyMart), 6 cawangan beroperasi sebagai Mydin Mart, 7 kedai runcit premium (SAM’s Groceria), 2 kedai makan premium (SAM’s Deli), dan terbabit dengan 162 buah Kedai Rakyat 1Malaysia di serata Malaysia.

Dan bagi yang tak tahu SAM’s Groceria dan SAM’s Deli adalah milik Mydin Mohamed Holdings, SAM adalah singkatan kepada “Saya Anak Malaysia”.

Datuk Ameer juga berkongsi rahsia kejayaan Mydin. “Adalah sangat penting untuk kita tahu apa yang kita buah, dan buat apa yang kita tahu. Kami sudah lama menceburi bidang peruncitan dan borong, dan kami berpegang kepada kepakaran kami”, jelas Datuk Ameer Ali.

Beliau juga memberitahu kita harus mempunyai kemahuan untuk berjaya, dan rajin serta bijak dalam berbuat sesuatu. Tiada apa yang datang bergolek, kita harus kuat bekerja dan berkorban masa bersama keluarga serta hidup kita. “Tak ada jalan mudah,”, tambahnya lagi.

Sumber: Iluminasi

Kisah Hidup Jim Carrey: Pesakit Disleksia yang menyinar di pentas Hollywood.

Kisah Hidup Jim Carrey: Pesakit Disleksia yang menyinar di pentas Hollywood.

Jim Carrey

Semestinya anda mengenali aktor kacak yang pernah popular dalam filem komedi The Mask. Ada saja gelagat Carrey yang membuat kita tak kering gusi. Antara yang terkesan di hati peminat ialah mimik muka beliau yang pelbagai. James Eugene Carrey dilahirkan pada 17 Januari 1962 di Ontario, Kanada. Seawal umur 15 tahun, Carrey sudah mula membuat stand-up comedy di sekitar Toronto. Pada 1978, Carrey mula bekerja sebagai cleaner di sebuah kilang bagi menyara keluarganya, Setahun selepas itu, beliau berhenti daripada kilang setelah dapat tawaran untuk membuat persembahan pembukaan untuk rancangan komedi popular di Amerika, Buddy Hackett and Rodney Dangerfield.

Carrey mula menempa nama di Hollywood apabila dipanggil untuk membintangi telemovie ‘Introducing……Janet’. Beliau juga telah muncul dalam program televisyen The Duck Factory and Jim Carrey’s Unnatural Act (1991) sehinggakan diberi tanggungjawab membawa watak utama dalam rancangan komedi yang hit di Amerika ketika itu, In Living Color. Ianya menjadi titik tolak kepada karier Carrey sehingga pada 1994, beliau dipanggil untuk membawa watak komedi dalam filem Ace Ventura: Pet Detective. Daripada situ, bakat besar yang ada dalam diri Carrey telah menarik minat pengarah dan penerbit di Hollywood. Mimik muka, meniru gaya dan physical brand yang ada pada Carrey membawa tuah apabila dia diundang untuk membintangi beberapa lagi filem komedi seperti The Mask (1994), Dumb andDumber (1994), Ace Ventura: When Nature Calls (1995), Batman Forever (1995), The Cable Guy (1996) dan Liar Liar (1997).

Namun di sebalik kejayaan beliau, ada cerita disebaliknya. Permulaan kisah beliau agak suram. Pada zaman awal persekolahan, Carrey menyifatkan dirinya sebagai seorang yang agak pendiam dan tiada kawan. Kemudian, beliau menyedari bahawa dia boleh mencari kawan dengan membuat orang ketawa. Dari situlah muncul pelbagai jenaka yang beliau reka. Akan tetapi tidak semuanya positif apabila guru kelasnya telah menulis di dalam kad laporan Carrey, ” Jim akan siapkan kerjanya dahulu, kemudian mula mengganggu semua rakannya di kelas”. Di rumah pula, beliau sangat terhibur dengan dirinya sendiri kerana suka membuat mimik muka di depan cermin.

Carrey mempunyai cita-cita yang tinggi dalam bidang komedi. Pada usia sepuluh tahun, beliau pernah menghantar resume kepada pelakon/komedian Carol Burnette, dengan harapan bakatnya digilap. Tetapi ianya tidak semudah yang disangka kerana usahanya itu hanya sia-sia. Beliau terpaksa bertarung dengan penyakit Dyslexia yang dialami untuk bersaing dengan pelajar normal yang lain. Carrey mempunyai kesukaran untuk membaca dan mengenalpasti setiap huruf dan memerlukan dia berusaha lebih dari orang normal bagi mengelakkan ketinggalan dalam pelajaran.

Bapa Carrey antara insan yang tidak pernah menghalang cita-cita beliau malah mendorong dan selalu memberi idea tentang jenaka kepadanya. Kadangkala, bapanya turut sekali melayan karenah gila-gila Carrey sehinggakan ibunya berang lalu mengurung Carrey didalam bilik. Ia tidak menjadi masalah buat beliau kerana masih ada cermin untuk dia berhibur.

Salah satu halangan yang dihadapi ialah wang. Mereka tinggal dikawasan perumahan kos rendah. Walaupun masih bersekolah di siang hari, Carrey memaksa dirinya untuk bekerja dikilang selama 8jam pada waktu malam. Beliau putus asa kerana tidak memahami apa yang diajar disekolah. Beliau juga tidak ramai kawan kerana takut mereka yang mengenalinya akan tahu tentang kehidupannya yang serba kekurangan. Kerana menyedari sekolah tidak membawa dia kemana-mana, Carry memutuskan untuk berhenti dari persekolahan pada umur 16.

Bapanya beranggapan, persekitaran mereka telah memberi kesan kepada pembesaran anak-anaknya lalu berpindah ke Kanada walaupun tanpa apa-apa pekerjaan menanti. Mereka tinggal dalam sebuah Volkswagen camper yang di parking di sebuah tapak perkhemahan selama lapan bulan.

Dapatkah anda bayangkan seorang remaja yang tidak menikmati masa mudanya, tidak berpendidikan, dan malu atas kemiskinan hidup yang dihadapi. Namun, perasaan rendah diri yang ada pada Carrey membuatkan dia sedar dan perlu berusaha lebih keras dari orang lain. Pemangkin kepada bakat luar biasa dalam diri beliau lahir dari desakan hidup yang memaksa dia mengambil risiko melakukannya.

Jim berkata dia sangat mempercayai dengan keajaiban. Pada masa lapangnya di Hollywood, dia akan memandu ke Muholland Drive, sambil menikmati permandangan bandar, beliau akan berkata “Semua orang nak bekerja dengan saya. Saya adalah seorang pelakon yang baik. Saya dapat semua jenis tawaran filem yang hebat”. Ternyata segala usaha dan tenaga Carrey berbaloi, selepas filem lakonannya Ace Ventura :Pet Detective, The Mask, dan Dumb & Dumber telah box office. Penerbit di Hollywood pula berani meletakkan bayaran sekurang-kurangnya 20 juta usd untuk satu filem. Tertanya ia sesuatu yang luar biasa dan boleh dibanggakan. Ketika ayahnya meninggal dunia, Carrey telah menulis sekeping cek bernilai 10 juta usd lalu meletakkannya di dalam keranda sebagai tanda penghormatan kerana bapa Carrey satu-satunya insan yang selalu menyokong dan memberi semangat kepada Carrey untuk menjadi seorang bintang komedi.

Jadi bagaimana pula dengan kita? Jika kita seorang yang lemah dalam akademik, jangan berputus asa kerana rezeki itu boleh datang dalam pelbagai bentuk. Yang penting usaha dan optimis dalam setiap apa yang dilakukan. Diharap perkongsian kali ini akan memberi inspirasi buat semua pembaca.

sumber: Jim Carrey Success Story – From Struggling Dyslexic to Comedy Movie Mogul / Iluminasi