Sejarah Menarik Di Sebalik Penciptaan Nombor Kosong (0)

Sejarah Menarik Di Sebalik Penciptaan Nombor Kosong (0)

Nombor kosong (0) dicipta secara bebas atau berasingan oleh bangsa Babylon, Maya dan India. Sesetengah pengkaji sejarah berpendapat bahawa sistem nombor India dipengaruhi oleh hasil kerja Babylon.
Sejarah Awal Nombor Kosong (0) Di Babylon


Sumber Foto: en.wikipedia.org

Babylon mewarisi sistem nombor daripada Sumeria. bangsa pertama yang mencipta sistem kiraan kira-kira 4000 hingga 5000 tahun lalu. Sistem berkenaan mengambil kira kedudukan sesuatu simbol relatif kepada kedudukan simbol yang lain.

Sistem kiraan Sumeria diwariskan kepada Empayar Akkadia dan seterusnya kepada Empayar Babylon sekitar tahun 300 BC.

Para ilmuan bersetuju bahawa di Babylon lah satu simbol dicipta sebagai suatu ‘placeholder’, yakni simbol untuk membezakan jumlah, contohnya antara 10 daripada 100, atau 225 daripada 2025.

Pada awalnya, bangsa Babylon membiarkan ruangan kosong dalam sistem nombor kuneiform mereka. Namun setelah berlaku terlalu banyak kekeliruan akibat sistem berkenaan, mereka menambah satu simbol, iaitu ‘two angled wedges’ bagi mewakili ruangan kosong.

Bagaimanapun, mereka tidak pernah terlintas di fikiran mereka untuk menjadikan kosong sebagai nombor, hanya sebagai suatu simbol.
Sejarah Awal Nombor Kosong (0) Di Amerika Oleh Masyarakat Maya

Sumber Foto: sites.google.com

600 tahun kemudian di sebuah kawasan sejauh 20,000 km dari Babylon, bangsa Maya mencipta kosong sebagai ‘placeholder’ di dalam sistem kalendar mereka yang sangat kompleks.

Walaupun mempunyai ramai pakar matematik, mereka tidak pernah menggunakan nombor kosong di dalam persamaan (equation) mereka.
India Mengangkat Kosong (0) Menjadi Nombor


Sumber Foto: viraldazed.com

Sesetengah para ilmuan beranggapan bahawa konsep kosong telah sampai ke India dan konsep ini dikembangkan di sana, namun sesetengah yang lain percaya bangsa India mencipta konsep nombor kosong secara sendiri tanpa pengaruh luar.

Konsep kosong pertama kali digunakan di India sekitar tahun 458 AD. Pada waktu berkenaan, persamaan matematik telah digunakan secara meluas berbanding pengunaan simbol-simbol semata-mata.

Konsep yang sama turut digunakan di dalam penyampaian puisi melalui perkataan-perkataan seperti ‘void’, ‘sky’ atau ‘space’ bagi melambangkan kosong.

Pada tahun 628 AD, seorang ahli astronomi dan matematik India iaitu Brahmagupta telah mencipta sebuah simbol untuk mewakili kosong, dengan meletakkan titik di bawah nombor.

Beliau juga mencipta operasi matematik yang menggunakan kosong, menulis ‘peraturan’ bagi mendapatkan kosong melalui operasi tambah dan tolak, serta menunjukkan hasil penggunaan kosong di dalam persamaan.

Inilah kali pertama di dunia kosong diiktiraf sebagai nombor, sebagai sebuah idea dan simbol.
Penggunaan Nombor Kosong (0) Di Timur Tengah


Sumber Foto: infobiografi.com


Sumber Foto: raudhahjiwa.blogspot.my

Beberapa ratus tahun berikutnya, konsep nombor kosong menjadi popular di China dan Timur Tengah.

Menurut Nils-Bertil Wallin dari YaleGlobal, sehingga tahun 773 AD, konsep ini sampai ke Baghdad dan menjadi sebahagian daripada sistem nombor Arab, yang berdasarkan sistem nombor India.

Seorang ahli matematik Islam dari Farsi iaitu Mohammed ibn-Musa al-Khowarizmi mencadangkan bulatan kecil digunakan di dalam pengiraan sekiranya tiada nombor pada kedudukan puluh.

Masyarakat Arab menggelar bulatan ini sebagai ‘sifr’ atau kosong. Masyarakat Malaysia merujuk kepada ‘sifr’ ini sebagai sifar. Nombor kosong sangat penting bagi Al-Khowarizmi, individu yang bertanggungjawab mencipta algebra pada kurun ke-9.

Beliau turut mencipta kaedah pantas bagi operasi matematik darab dan bahagi, yang kita rujuk sebagai algorithms.
Penyebaran Konsep Nombor Kosong (0) Di Eropah


Sumber Foto: theapothetae.org

Konsep kosong juga sampai ke Eropah, melalui penaklukan Sepanyol oleh bangsa Moorish. Konsep ini kemudiannya dikembangkan lagi oleh seorang ahli matematik dari Itali iaitu Fibonacci.

Beliau menggunakan kosong dalam persamaan matematik tanpa menggunakan abaskus. Penggunakan alat ini sangat lazim pada ketika itu bagi menyelesaikan masalah aritmetik.

Perkembangan konsep ini menjadi sangat popular dalam kalangan pedagang. Para pedagang menggunakan persamaan yang dikembangkan oleh Fibonacci (melibatkan penggunaan nombor kosong) bagi mengimbangkan kiraan kewangan mereka.
Pengharaman Penggunaan Nombor Kosong (0) Di Itali

Kerajaan Itali berasa curiga dengan sistem nombor Arab dan mengharamkan penggunaan nombor kosong. Para pedagang terus menggunakan nombor ini secara sembunyi dan rahsia.

Perkataan Inggeris ‘Cipher’ yang membawa kod rahsia, atau salah satu elemen matematik sebenarnya berasal daripada perkataan Arab ‘sifr’. Mungkin boleh dikaitkan dengan peristiwa di atas.

Sehingga kurun ke-16, nombor kosong telah digunakan secara meluas di Eropah. Nombor ini menjadi asas kepada sistem koordinat (Cartesian) oleh Rene Descartes, serta perkembangan konsep kalkulus oleh Sir Isaac Newton dan Gottfried Wilhem Liebniz.

Peranan kalkulus sangat penting dalam bidang fizik, kejuruteraan, pengkomputeran, dan kebanyakan teori ekonomi dan kewangan.

Rujukan:

quora.com

Sumber: Iluminasi

Agen Oren : Kesan Penggunaan Senjata Kimia Semasa Perang Vietnam

Agen Oren : Kesan Penggunaan Senjata Kimia Semasa Perang Vietnam

Dalam sejarah, Perang Vietnam merupakan antara perang yang paling dahsyat dan diingati disebabkan jumlah orang yang terbunuh dan penggunaan senjata kimia yang masih meninggalkan kesan kepada penduduk tempatan sehingga generasi masa kini. Dianggarkakn 3 juta manusia terkorban dalam peperangan ini.

Peperangan ini terjadi antara pihak kerajaan Selatan Vietnam dan kerajaan Utara Vietnam. Walaupun kedua-dua kerajaan ini mempunyai cita-cita yang sama untuk menggabungkan kedua-dua bahagian Vietnam ini untuk menubuhkan sebuah negara Vietnam, perbezaan fahaman antara kedua kerajaan ini menghalangnya. Pada ketika itu, kerajaan Utara Vietnam berfahaman komunis sementara kerajaan Selatan Vietnam pula berfahaman anti-komunis.

Amerika Syarikat pada ketika ingin menghalang penyebaran fahaman komunis telah bertindak menghantar bantuan ketenteraan kepada kerajaan Vietnam Selatan. Perang ini berlaku pada tahun 1955 hingga tahun 1975. Tempoh perang yang panjang ini telah memaksa Amerika Syarikat bertindak agresif melancarkan sebuah operasi menggunakan senjata kimia. Operasi ini dikenali sebagai Operasi Ranch Hand.

Penggunaan Agen Oren

Antara strategi yang digunakan pihak Amerika Syarikat adalah memutuskan bekalan makanan musuh. Bagi tujuan ini, mereka telah merancang untuk memusnahkan hutan-hutan dan ladang-ladang penduduk tempatan yang disyaki menyalurkan bantuan makanan kepada pihak musuh.

Untuk memusnahkan kawasan hutan dan ladang, cecair kimia yang dirumus khas telah dihasilkan. Cecair kimia ini diberi nama nama Agen Oren. Selama 10 tahun lamanya, helikopter dan jet pejuang Amerika Syarikat telah menyembur cecair ini ke kawasan hutan dan ladang tanaman milik penduduk.

Para saintis yang menghasilkan cecair kimia ini berjanji bahawa ianya hanya membunuh tumbuh-tumbuhan dan tidak akan mempunyai kesan sampingan kepada manusia. Untuk mempercepatkan usaha merosakkan hutan dan ladang tanaman penduduk, Amerika Syarikat bertindak menggunakan bahan kimia ini pada konsentrasi yang lebih daripada yang kebiasaannya digunakan.

Dari satu sudut, usaha mereka ini dianggap berjaya mencapai matlamatnya. Dikatakan 5 juta ekar hutan dan ladang tanaman berjaya dimusnahkan oleh cecair kimia ini. Walaupun begitu, tanpa mereka sedari penggunaan cecair kimia ini mempunyai kesan yang lebih dahsyat tanpa kepada manusia dan alam sekitar.

Kesan sampingan kepada manusia

Kesan cecair Agen Oren ini kepada manusia hanya dapat dilihat selepes beberapa tahun ianya digunakan. Walaupun bahan kimia ini disembur ke hutan dan ladang tanaman, kira-kira 4 juta manusia telah terdedah kepada bahan berbahaya ini melalui hasil tanaman yang diperolehi dari ladang-ladang tanaman yang telah disembur dan juga melalui pernafasan.

Cecair kimia ini mempunyai kesan yang sangat dahsyat. Beberapa tahun selepas penggunaan Agen Oren, banyak bayi yang dilahirkan di Vietnam mengalami kecacatan fizikal dan mental. Malah, kebanyakan bayi juga dilaporkan mengalami mutasi yang teruk. Ada diantaranya yang mempunyai lebih banyak jari, tangan dan kaki daripada manusia normal malah ada yang dilahirkan tanpa mata.

Kecacatan fizikal dan masalah mental menyukarkan generasi baru yang dilahirkan ini meneruskan hidup seperti manusia normal yang lain. Kebanyakan yang dilahirkan cacat ini akan diasingkan dan ditempatkan di sebuah perkampungan khas yang digelar Peace Village. Di sini terdapat pekerja khas yang akan menjaga dan menguruskan mereka agar dapat hidup dengan sempurna.

Walaupun kejadian ini sudah berlaku berpuluh tahun, kesan mutasi daripada cecair Agen Oren ini dikatakan masih wujud sehingga ke hari ini. Terdapat bayi-bayi yang dilahirkan cacat dan tidak dapat diselamatkan sejurus selepas kelahiran.

Di hospital yang terletak di Peace Village ini, terdapat sebuah bilik khas yang menyimpan mayat bayi cacat atau janin cacat yang mati dalam kandungan. Ada yang mempunyai 2 kepala, tiada mata, bentuk anggota kaki yang pelik dan sebagainya. Mayat-mayat ini tetap disimpan sebagai peringatan kepada generasi akan datang tentang bahayanya penggunaan senjata kimia terhadap manusia.

Kesan kepada alam sekitar dan tentera Amerika Syarikat

Walaupun kesan penggunaan Agen Oren lebih dirasai penduduk tempatan, askar-askar Amerika Syarikat dilaporkan turut mendapat kesan sampingan. Rekod kesihatan askar veteran Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kebanyakan yang terlibat secara langsung dengan Agen Oren seperti penghasilan dan penyemburan cecair tersebut, menghadapi pelbagai masalah kesihatan dan penyakit seperti lymphoma, leukemia dan kancer.

Kerana konsentrasi Agen Oren yang sangat tinggi daripada yang biasanya digunakan untuk meracun tanaman, kesannya masih wujud kepada kawasan yang disembur. Walaupun sudah berpuluh tahun, tiada tumbuh-tumbuhan yang mampu hidup di kawasan yang telah disembur dengan cecair merbahaya ini. Ini menunjukkan bahawa tanah di kawasan yang terlibat masih tercemar dengan cecair Agen Oren ini seterusnya menghalang pertumbuhan pokok di kawasan tersebut.

Kesan buruk yang dapat dilihat daripada penggunaan senjata kimia semasa Perang Vietnam ini mengingatkan kita akan bahaya penggunaan senjata kimia kepada manusia dan sekitar. Ianya bukan sahaja membunuh, malah boleh mengakibatkan kejadian yang lebih buruk lagi kepada manusia antaranya mutasi dan pelbagai penyakit berbahaya seperti leukimia dan kanser.

Kredit:

Military.com
WikiPedia
NY Times

Sumber: Iluminasi

Kisah Hidup Colonel Sanders dan Kentucky Fried Chicken

Kisah Hidup Colonel Sanders dan Kentucky Fried Chicken

Wajah Colonel Sanders yang terpapar pada logo, kotak dan visual KFC pasti mengingatkan kita tentang pengasas KFC iaitu Colonel Harland Sanders.Tahukah anda, Colonel Sanders merupakan peniaga yang hanya mampu merasai hidup selesa pada hujung usianya?

Kisah perjalanan Colonel Sanders mengembangkan perniagaannya patut memberikan inspirasi kepada anak-anak muda yang baru berjinak-jinak hendak memulakan perniagaan kerana kejayaan terbukti, tidak akan datang dengan mudah.

Awal Usia

Harland Sanders lahir pada 9 September 1890 di Indiana.

Harland mempunyai kehidupan awal yang susah selepas ayahnya meninggal dunia ketika usianya baru enam tahun dan dua adiknya yang masih kecil. Atas desakan hidup, ibunya terpaksa melakukan pelbagai kerja hanya untuk menampung keperluan hidup sementara Harland ditugaskan menjaga adik-adiknya di rumah, termasuklah menyiapkan adik-adiknya, mengemas rumah dan memasak.

Kemahiran memasaknya pula diasah dari kesempitan hidup yang dirasai.

Tidak cukup dengan itu, Harland telah mula bekerja pada umurnya 10 tahun untuk memastikan belanja rumah mencukupi. Pekerjaan pertama beliau adalah sebagai pembantu ladang dengan gaji 2 dollar sebulan. Mungkin bosan dengan pekerjaannya, pada usia 16 tahun, Harland memalsukan dokumen pengenalan diri lalu menyertai tentera.

Harland tidak kekal lama dalam tentera selepas ditugaskan di Cuba selama 3 bulan sebelum perkhidmatannya berkahir dan dia memulakan hidup di Alabama dengan melakukan pelbagai jenis pekerjaan bagi menampung hidup dan Harland juga pernah mencuba nasib sebagai peguam, sebelum bertumbuk dengan anak guamnya sendiri di dalam mahkamah. Dia juga pernah menjadi bidan bersalin kerana pada waktu itu, ramai orang tidak mampu mengupah doktor.

Menuju Kematangan

Harland akhirnya menemui kehidupan stabil sebagai pengusaha stesen minyak selama 6 tahun sebelum Amerika mengalami kemerosotan ekonomi teruk yang digelarkan ‘The Great Depression.’

Pada tahun 1930, ketika berusia 40 tahun, Harland tidak ada pendapatan tetap dan hampir-hampir muflis yang memaksanya ke sebuah daerah bernama Corbin di Kentucky. Di sana beliau mendapat kontrak dengan syarikat Shell untuk menguruskan sebuah stesen minyak yang baru dibina dan Shell membenarkan Harland serta keluarganya tinggal di situ.

Sayangnya Harland pada stesen minyak itu, apabila wujud sebuah lagi stesen minyak berdekatan yang dikendalikan oleh syarikat lain, dia berbalas-balas tembakan dengan pengusaha stesen tersebut atas dasar persaingan. Nasib menyebelahi Harland kerana lawannya yang melepaskan tembakan dahulu dan tidak ada pertuduhan dapat dibuat atas tindakannya.

Era Sanders Court and Cafe

Semakin hari semakin ramai pemandu yang berhenti mengisi minyak dan bertanyakan di mana lokasi yang menarik untuk makan. Melihat pemandu-pemandu yang menghadapi kesukaran mendapatkan makanan, Harland mula menjual makanan kepada pemandu yang singgah. Oleh kerana kekurangan tempat makan, semua pengunjung akan menggunakan meja makan keluarga Harland sebagai tempat menjamu selera.

Rumah Harland yang menyediakan makanan menyelerakan membuatkan makin ramai orang yang datang berkunjung semata-mata untuk makan. Menu yang dihidangkan mula mengalami proses penambahan- Harland mula menyiapkan steak, ham, telur, biskut dan yang paling terkenal, ayam goreng.

Melihat perniagaannya mula laris, Harland kemudiannya membeli sebuah motel berdekatan dan mengubahsuainya menjadi restoran yang mampu menempatkan 142 tetamu dalam satu masa dan menamakannya “Sanders Court and Cafe.”

Bergelar Colonel

Walau pun begitu, beliau masih menghadapi masalah apabila proses menyediakan ayam goreng agak perlahan sehinggakan pelanggan terpaksa menunggu lama. Ketika melawat kedai barang elektrik di sekitar daerah tersebut, Harland menemui ‘periuk tekanan’ yang mampu memasak ayam goreng dalam waktu yang lebih singkat.

Pada tahun 1935, Gabenor Kentucky yang bernama Ruby Laffoon, menganugerahkan pangkat Colonel pada Harland Sanders atas sumbangannya dalam mempopularkan hidangan masyarakat tempatan Kentucky.

Sejak dari hari itu, Harland Sanders mula dikenali dengan gelaran Colonel Sanders namun nasib tidak menyebelahi Colonel Sanders apabila pada awal 1950, lebuhraya baru dibina mengakibatkan orang ramai tidak lagi melalui jalan di mana restorannya berada.

Menyedari hakikat yang perniagaannya perlu berkembang ke luar, Colonel Sanders yang pada ketika itu sudah berusia 62 tahun, menjual semua asetnya dan mula berkelana mencari pengusaha yang mahu menggunakan resipi ayam goreng beliau untuk dijual di restoran mereka.

Kentucky Fried Chicken dan Hujung Usia

Restoran pertama yang bersetuju menjadi francais Colonel Sanders adalah sebuah hotel bernama Do Drop Inn yang terletak di Salt Lake City, Utah yang menjadi tapak pertama Kentucky Fried Chicken. Pada tahun 1952, Colonel Sanders berjaya menjual francaisnya kepada lebih 200 cawangan lain di serata Kanada dan Amerika Syarikat. Pada tahun 1964, Colonel Sanders menjual syarikat francaisnya dengan harga 2 juta dan hanya meneruskan tugasnya sebagai duta kepada Kentucky Fried Chicken sehinggalah penghujung hayatnya.

Colonel Sanders didapati menghidap penyakit leukimia pada Jun 1980 sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 16 Disember 1980 ketika berusia 90 tahun.

Sehingga tahun 2014, sebanyak 18,875 restoran Kentucky Fried Chicken telah dibuka di seluruh dunia.

Sumber: Iluminasi

Kisah Menyayat Hati Banduan Akhir di Penjara Pudu

Kisah Menyayat Hati Banduan Akhir di Penjara Pudu

Penulisan ini ditulis dan dikongsikan oleh saudara Jazwan Kahar di laman Facebook beliau dan pihak iluminasi telah mendapat kebenaran mengulang siar penulisan ini untuk manfaat bersama. Sedikit pengolahan struktur ayat telah dibuat tanpa mengubah maksud mahupun mesej asal perkongsian ini.


penjara pudu
Sumber Foto: farhanhanif.blogspot.my

Bismillahirrahmanirrahim. Saya ingin berkongsi cerita di hari minggu ini.

Teringat akan zaman muda dulu, sewaktu bekerja di Penjara Pudu sekitar tahun 1998 kalau tidak silap. Semasa itu, Penjara Pudu diambil alih oleh syarikat swasta untuk jadikan pameran bagi orang ramai.

Tapi pameran ini diselia oleh Jabatan Penjara Malaysia. Waktu itu majikan kami adalah Tuan Aris, yang merupakan junior datuk saya. Datuk saya dahulunya seorang bekas warden di Penjara Pudu.

Dipendekkan cerita, saya bersama sahabat baik saya ditugaskan menjaga bilik akhir, yakni bilik pesalah yang akan menjalani hukuman gantung. Seronok betul waktu itu. Waktu muda-muda memang suka sangat tempat macam itu.

Seluruh kawasan Penjara Pudu memang sudah kami tapau habis. Semua tempat tersembunyi kami sudah pergi dan melepak. Kawasan yang tidak boleh masuk pun kami tetap masuk juga. Banyak kisah yang pelik, tapi bila-bila nanti saya ceritakan.

Banyak perkara yang saya belajar dan sedar ketika kerja di situ. Lagi seronok bekas warden pula kenalan datuk saya, jadi lagi banyak cerita saya dapat dan rasai di sini. Banduan Akhir

Ini pula cerita dari ustaz, nak cerita pasal bilik akhir sebenarnya.

“Jangan dihina pelaku maksiat kerana ada jalan taubat buat mereka di akhir hayatnya. Bagaimana pula dengan kita? Apakah nanti ada ruang untuk kita bertaubat?” Ikuti kisah menyayat hati ini. Antara manusia yang tahu bila dia akan mati ialah, banduan akhir.


hukuman gantung sampai mati
Sumber Foto: semuanyanafsubelaka.blogspot.my

Banduan akhir ialah banduan yang melakukan jenayah berat, melalui proses kehakiman kadangkala 2 tahun, 3 tahun, mahupun 5 tahun dan akhirnya akan dihukum hukuman gantung oleh hakim.

Sekiranya hukuman gantung itu dibacakan pada hari Isnin, maka hukuman gantung sampai mati dilakukan oleh pada hari Jumaat (semua banduan akhir beragama Islam).

Apabila seorang banduan bakal dihukum gantung sampai mati, maka namanya di ketika itu akan menjadi banduan akhir dan biliknya akan diasingkan. Nama biliknya ialah “Sel Akhir”.

Katakanlah hakim menjatuhkan hukuman pada hari Isnin, maka ketika itu baki kehidupan harinya ialah Selasa, Rabu dan Khamis sahaja.

Waktu hakim membaca “Maka dengan ini dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, yang akan dilaksanakan pada hari Jumaat ini antara jam 6 pagi dan jam 7 pagi.”

Prosedurnya adalah sedemikian. Sekiranya hukuman dibaca hari Ahad, Jumaat dijatuhkan hukuman. Kalau hari Rabu, maka baki kehidupannya sehari sahaja lagi.

Orang yang namanya banduan akhir ini, selesai hakim membaca keputusan, lutut dia sudah tidak boleh berdiri lagi. Sebab apa tuan-tuan? Sebab dia masih boleh bernafas 3 hari sahaja lagi. Dia hanya boleh bernafas 4 hari sahaja lagi.

Air mata sudah berlinangan sejak di mahkamah lagi. Balik ke penjara, warden akan suruh asingkan barang-barang dan mesti dipindahkan ke sel belakang sekali, seorang diri.


bilik banduan akhir dan tempat gantung

Diketika itu, kita akan tengok bagaimana banduan akhir menghabiskan kehidupannya. Sentiasa membaca Al-Quran. Apabila ustaz agama datang, majlis percakapan dan nasihat akan dipenuhi dengan tangisan air mata.

“Saya banyak dosa ustaz.”

“Saya tinggalkan tanggungjawab saya.”

“Saya tinggalkan tanggungjawab saya pada ibu & ayah saya ustaz.”
Ada Sebab Allah Merahsiakan Waktu Kematian

Pergilah waktu mana pun, kita akan tengok banduan akhir ini berdiri di depan Allah, sembahyang. Solatnya panjang, zikirnya banyak. Qurannya banyak, mengadu kepada Allah S.W.T..

Kenapa? Sebab dia tahu umur dia lagi 3 hari, lagi 2 hari. Tuan-tuan yang dirahmati Allah, apabila sampai hari Khamis, esok Jumaat pagi dia akan digantung.

Malam itu kita nak tidur lagi tuan-tuan? Tidak tidur sudah. Manusia yang tahu ajalnya, dia sudah tidak boleh tidur sudah tuan-tuan.

Sebab itu di antara rahmat Allah yangg besar adalah merahsiakan kematian kita supaya kita boleh makan, supaya kita boleh tidur, supaya kita boleh bermain dan sebagainya.

Kalau dia tahu lagi sebulan ajalnya, nescaya sebelum sebulan lagi dia sudah tidak akan bermain lagi. Tapi Allah S.W.T. merahsiakan kematian itu sebagai bukti dan rahmat Allah kepada saya dan kita semua.

Banduan akhir ini, walaupun dibuka rahsia kematian oleh Allah, maka dia jauh lebih beruntung daripada kita semua. Sebab dia tahu bila perlu bertaubat. Dia boleh bertaubat, Alhamdulillah.
Perlu Bertaubat & Sentiasa Bersedia Menghadapi Kematian

Majoriti manusia yang dibawa menghadap Allah tidak sempat bertaubat kepada Allah S.W.T.. Sebab tidak tahu bila akan mati. Maka banduan akhir ini bakal pulang pada malam Jumaat. Alhamdulillah dia beruntung untuk mengaku di hadapan Allah.


bilik gantung penjara pudu

“Ya Allah, aku berdosa di hadapanMu ya Allah. Aku mengaku bahawa selama ini aku melakukan kesalahan kepadaMu ya Allah! Ya Allah, ampunilah dosa aku ya Allah!”

Maka datang daripada seluruh keikhlasan, dihimpunkan di dalam hatinya untuk menghadap Allah. Untung dia.
Hidangan Terakhir

Esok pagi atau malam itu, banduan akhir ini akan diberi pilihan untuk memilih makanan yang tidak melebihi lebih kurang RM 7.50. Dia diberi pilihan, boleh pilih sama ada char kuew teow, nasi ayam penyet, cucur udang.

Tuan-tuan, banduan akhir nak pilih makanan apa? Kebanyakan banduan akhir tidak lagi akan memesan apa-apa makanan. Waktu itu, sudah tidak lalu makan dah.


pudu 3 hanif maidin

Kerana keesokan hari bila dia bangun, bukannya bangun pun bahkan malam itu adalah malam yang dia tidak akan tidur. Selalunya kes banduan akhir ini, dia bangun, dia solat subuh. Hukumannya mesti di antara jam 6 hingga 7 pagi.

Maka benarlah apa yang Allah sebut, dia sendiri tidak tahu bila dia akan mati. Walaupun harinya dia akan tahu, tetapi minit ke berapa, saat ke berapa nyawa dia akan keluar dia tidak tahu. Itu Rahsia Allah.

Ya benar. Dia disarungkan tali di lehernya pada jam 6.47 pagi contohnya. Tapi dia tidak tahu saat ke berapa dia akan kehabisan nyawa.
Kali Terakhir Bersama Keluarga


pudu

Esok paginya, banduan akhir akan diberi peluang untuk bercakap dengan ahli keluarganya.

Tuan-tuan bagi peluang bercakap dengan ahli keluarga, tidak ada ungkapan yang akan keluar. Hanya peluk dan tangisan, peluk dan tangisan. Sudah tidak boleh bercakap.

Nak cakap apa pun sudah tidak boleh. Nak cakap apa lagi?

Nak suruh jaga pokok bunga yang ayah tanam?

Tidak ada apa yang boleh dipesan ketika itu. Yang boleh keluar hanya 2 perkataan sahaja. “Maafkan ayah. Maafkan ayah.”

Bila peluk isteri, “Maafkan abg. Maafkan abg”. Itu sahaja. Nak kemaafan sahaja disaat-saat akhir itu. Kemudian, dia akan dibawa ke situ lalu digantung.

ALLAH merahsiakan kematian itu untuk saya dan kita semua agar sentiasa melakukan persiapan untuk bertemu dengan Allah SWT.

Wallahua’lam.

Sumber: Iluminasi

5 Sebab Mengapa Joseph Stalin Mungkin Lebih Kejam Daripada Adolf Hitler

5 Sebab Mengapa Joseph Stalin Mungkin Lebih Kejam Daripada Adolf Hitler


joseph stalin 3

Joseph Stalin atau nama sebenarnya Josef Vissarionovich Djugashvili adalah diktator Union of Soviet Socialist Republics (USSR) dari 1929 hingga 1953. Nama “Stalin” diberikan oleh dirinya sendiri yang bermaksud “Man of Steel”. Beliau merupakan individu yang bertanggungjawab mengubah Soviet Union daripada sebuah negara petani kepada negara industri dan kekuasaan tentera yang sangat kuat.


young stalin

Namun, disebalik perubahan yang dilakukan oleh Joseph Stalin, beliau telah menggunakan kekerasan dan kekejaman dalam pemerintahannya seperti membunuh rakyat dan pegawainya, bagi mencapai matlamat. Beliau yang lahir dalam keluarga miskin melibatkan diri dalam dunia politik dan juga jenayah ketika masih remaja.


joseph stalin

Selepas kematian pemimpin Parti Bolshevik iaitu Vladimir Lenin pada tahun 1924, Joseph Stalin mengambil tampuk kepimpinan Soviet Union. Setelah berkuasa, Joseph Stalin mengambil alih semua ladang-ladang dan membunuh petani jika tidak menurut perintah. Dianggarkan kematian yang disebabkan oleh Joseph Stalin adalah sekurang-kurangnya 20 juta nyawa.

Selepas kematian Joseph Stalin, Soviet Union telah melancarkan usaha de-Stalinization iaitu mengubah kembali perubahan yang dilakukan oleh Joseph Stalin. Adolf Hitler dan Joseph Stalin yang hidup pada zaman yang sama malah berperang ketika Perang Dunia Kedua, kedua-duanya dianggap sebagai diktator yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.

iluminasi.com ingin berkongsi 5 sebab mengapa Joseph Stalin mungkin lebih kejam dan bengis daripada Adolf Hitler.

5. Penjarakan dan membunuh tentera sendiri
stalin

Bagi tentera Soviet Union yang mengabaikan atau berundur dari medan perang tanpa kebenaran, mereka akan dibunuh oleh Joseph Stalin. Ketika pemerintahan beliau, lebih daripada 400,000 tentera telah dihantar ke tempat-tempat yang memungkinkan diri mereka terbunuh. Dengan ini, ia tidak kelihatan seperti Joseph Stalin yang membunuh mereka.

4. Bapa dan suami yang kejam

keluarga joseph

Jika Adolf Hitler dan isterinya membunuh diri bersama-sama, lain pula bagi Joseph Stalin. Menurut sumber, beliau merupakan seorang bapa dan suami yang jahat. Ketika salah seorang anak cuba untuk membunuh diri dengan menembak, namun terselamat, Joseph Stalin berkata, “Nak tembak pun tak reti,”. Dan ketika mana anaknya ditangkap oleh tentera Jerman dan meminta jeneral Jerman sebagai pertukaran, Joseph Stalin menolak tawaran itu yang menyebabkan anaknya mati.

Pada tahun 1932, Joseph dan isterinya telah bertengkar, dan pada malamnya, isterinya telah membunuh diri. Ada yang mengatakan Joseph sendiri yang membunuh isterinya. Sejahat-jahat Hitler, beliau masih sayangkan isterinya.

3. Rombakan dan pembunuhan tentera tertinggi

tentera 854

Setelah mengambil tampuk kepimpinan Soviet Union, Joseph menjadi paranoid disebabkan kuasanya. Beliau berasakan orang bawahannya seperti hendak mengambil dan mencabar kuasanya. Dalam usaha beliau memberi amaran kepada mana-mana kuasa bawah atau pakatan yang menentang pemerintahannya, beliau telah membunuh, memecat dan memasukkan ke dalam penjara, terutamanya mereka yang berpangkat tinggi.

Antara yang telah dilucutkan jawatan adalah :

3 daripada 5 Marshall
8 daripada 9 Laksamana
13 daripada 15 Komander Tentera
50 daripada 57 Komander Kor
16 daripada 16 Komisar Tentera
25 daripada 28 Komisar Kor

Disebabkan perubahan kepada pasukan tentera ini, ia telah melemahkan Soviet Union terutama ketika mereka cuba menceroboh Finland dan ketika Jerman menyerang Soviet Union.

2. Cendekiawan dipenjarakan

joseph

Sebagai diktator, Joseph Stalin menggunakan kuasanya dengan sangat kejam sehingga menyebabkan kerugian sendiri kepada Soviet Union. Sekurang-kurangnya 2,000 cendekiawan dan individu bijak pandai telah di penjarakan di atas sebab yang tak munasabah. Disebabkan itu, sekurang-kurangnya 1,500 daripada mereka telah mati.

Antara sebab-sebab mereka dipenjara adalah kerana menghasilkan sesuatu selain daripada propaganda bagi penulis, penyair, ahli falsafah. Bagi ahli astronomi pula, mereka dipenjara kerana mengkaji tompok pada matahari dan bagi ahli kaji cuaca, dipenjara kerana membuat ramalan yang tak tepat. Jurutera dan saintis pula “dibersihkan” lebih-lebih lagi ketika perang kerana gagal menyelesaikan masalah.

1. Holomodor (Peristiwa kelaparan)

holodomor 2

Dalam satu peristiwa yang dikenali sebagai Holomodor, iaitu kelaparan yang disengajakan oleh Joseph Stalin di Ukraine, telah menyebabkan kematian rakyat Ukraine di antara 7 hingga 10 juta orang. Ukraine ketika itu merupakan sumber makanan kepada Soviet Union kerana ladang-ladangnya yang sangat produktif. Namun, sumber makanan itu diambil kesemuanya oleh Soviet Union untuk digunakan oleh mereka, dan membiarkan rakyat Ukraine kelaparan tiada makanan, yang menyebabkan kematian berjuta-juta orang.

Kelaparan yang berleluasa dan sangat dasyat ini telah menyebabkan rakyat Ukraine yang masih hidup terpaksa memakan mayat-mayat yang ada, serta 2,500 orang disabitkan dengan kanibalisma. Propaganda Soviet Union yang tidak mengaku menyebabkan kelaparan terhadap Ukraine untuk bertahun lamanya. Mereka juga memberitahu negara barat bahawa kelaparan itu terjadi secara semulajadi dan bukan dirancangkan. Sehingga kini topik ini menjadi topik panas di antara Rusia dan Ukraine.

Rujukan :

1. History

2. History and Headlines

Sumber : Iluminasi

Pulau Kanibal – Peristiwa “The Hunger Games” Semasa Zaman Joseph Stalin

Pulau Kanibal – Peristiwa “The Hunger Games” Semasa Zaman Joseph Stalin

Pernah baca novel atau menonton filem “The Hunger Games”? Secara mudahnya, The Hunger Games adalah sejenis permainan berkonsepkan survival dimana setiap karakter perlu mempertahankan diri atau membunuh karakter atau musuh lain untuk terus hidup. Dalam kata lain, anda harus membunuh jika tidak mahu dibunuh.

Konsep permainan yang dipaparkan dalam The Hunger Games ini seakan-akan hanyalah rekaan dan fantasi semata-mata. Walau bagaimanapun, itulah keadaan sebenar yang berlaku sewaktu pemerintahan diktator Soviet Union, Joseph Stalin. Kisah ini dikatakan berlaku di Pulau Nazino, sebuah kawasan pulau terpencil yang terletak di Siberia.
Menghapuskan ancaman

joseph stalin 725

Sebelum ini kami pernah menulis mengenai Joseph Stalin. Beliau merupakan seorang yang kejam dan tidak akan teragak-agak untuk membunuh sesiapa sahaja yang dirasakan boleh mendatangkan ancaman kepada kedudukannya. Pegawai yang didapati mendatangkan ancaman kepadanya akan dipecat, dipenjarakan dan ada antaranya yang dibunuh.

Antara tindakannya bagi mengurangkan tentangan daripada pihak yang mengancam keselamatannya adalah menghantar mereka jauh ke Siberia. Dikatakan beribu-ribu orang telah dihantar ke Siberia atas alasan yang tidak munasabah antaranya tidak menunjukkan identiti pengenalan diri dan kesalahan-kesalahan kecil yang lain.


pulau nazino

Pada bulan Mei 1953, kira-kira 5000 orang telah dihantar ke sebuah pulau terpencil bernama Pulau Nazino. Ketika itu, pihak berkuasa tempatan tidak mempunyai pengalaman dan kemampuan logistik untuk urusan penghantaran 5000 orang tersebut ke Pulau Nazino dan 27 orang telah mati dalam perjalanan.
Kem Tahanan

Pulau itu sepatutnya dijadikan sebagai sebuah kem tahanan buat para pesalah. Mereka sepatutnya dikerah untuk bercucuk tanam untuk menyara kehidupan sendiri dan tidak mengharapkan bantuan makanan daripada pihak berkuasa. Malangnya, pihak berkuasa tidak menyediakan segala peralatan untuk bercucuk tanam. Malah, tempat perlindungan juga tidak disediakan buat mereka. Dengan keluasan pulau tersebut yang kecil dan kebanyakan kawasannya berpaya, ianya menyukarkan mereka untuk mencari kawasan berteduh.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila pada 27 Mei, 1200 orang banduan juga telah dipindahkan ke pulau tersebut. Hal ini menambahkan lagi konflik dan ancaman keselamatan kepada mereka yang tiba lebih awal di pulau itu.


bantuan makanan

Kerana ketiadaan makanan di sana, maka pihak berkuasa telah mula menghantar bantuan makanan berupa tepung. Pada hari pertama bantuan makanan ini dihantar, pihak berkuasa yang menghantar bekalan tepung ini telah diserang oleh banduan yang kebuluran. Perkara yang sama berlaku pada keesokan harinya. Hal ini telah memaksa pihak berkuasa mengarahkan mereka yang berada di pulau ini untuk melantik beberapa orang wakil bagi mengambil bekalan makanan bagi pihak mereka.

Menjadi kanibal

Malangnya, wakil-wakil yang dilantik untuk mengambil bekalan tepung ini telah bertindak menyimpannya dan meminta orang ramai membayar bagi mendapatkan tepung tersebut. Hal ini telah menyebabkan konflik dan pergaduhan besar sesama mereka.

Sementara itu, kerana ketiadaan alatan memasak, sebahagian daripada tahanan di pulau ini telah bertindak memakan tepung ini secara mentah dengan mencampurkannya dengan air. Akibatnya, ramai yang jatuh sakit dan cirit birit. Ditambah lagi dengan ketiadaan kemudahan perubatan, ramai yang mati.

Akibat terdesak kerana pelbagai permasalahan yang timbul, ramai tahanan di pulau ini bergaduh dan berbunuhan sesama sendiri. Malah, ketiadaan makanan telah memaksa mereka yang tinggal disini untuk membunuh dan memakan daging tahanan untuk terus hidup. Keadaan pada ketika itu umpana permainan “The Hunger Games” dimana setiap orang perlu membunuh manusia lain untuk makanan dan meneruskan hidup. Akibat daripada peristiwa inilah pulau ini turut diberi gelaran “Pulau Kanibal”.

Terdapat juga sebahagian tahanan yang mula membina rakit untuk melarikan diri daripada pulau ini. Malangnya, kebanyakan rakit ini tidak mampu bertahan di lautan yang luas dan akhirnya karam. Ramai yang cuba melarikan diri ini akhirnya mati kelemasan sementara mereka yang berjaya berenang ke Siberia pula biasanya akan dibunuh oleh pihak berkuasa pantai.

Daripada keseluruhan 6000 orang yang dihantar ke pulau ini pada bulan Mei, hanya 2000 orang dilaporkan selamat sehingga bulan Jun. Mereka yang terselamat ini pula kemudiannya telah dihantar ke kem tahanan dan dikerah sebagai buruh paksa. Kisah malang di “Pulau Kanibal” ini mengingatkan kita mengenai kesan buruk pemerintahan diktator.

Kisah tragedi ini telah didokumentarikan antaranya dalam sebuah buku bertajuk “Cannibal Island Death in a Siberian Gulag” dan juga sebuah filem di Netflix berjudul “The Bad Batch”.

Kredit:

The Sun
WikiPedia
Sofrep News

Sumber: Iluminasi

Operation Fish – Operasi Pemindahan Harta Terbesar Dunia Semasa Perang Dunia Kedua

Operation Fish – Operasi Pemindahan Harta Terbesar Dunia Semasa Perang Dunia Kedua

Pada tahun 1939, telah timbul tanda-tanda akan berlakunya perang di Eropah. Menjelang 1940, keadaan menjadi semakin runcing apabila Belanda dan Belgium telah jatuh ke tangan Jerman.

Dengan serangan ke atas England dijangka berlaku pada pertengahan bulan Jun 1940, Winston Churchill selaku Perdana Menteri pada ketika itu telah melancarkan satu operasi besar-besaran untuk memindahkan rizab simpanan dan sekuriti British ke Montreal, Kanada. Operasi ini dikenali sebagai “Operation Fish”.

Operasi ini dikatakan telah berjalan bermula dari musim panas 1939 sehingga awal 1940. Sepanjang tempoh Operation Fish ini, dikatakan 1500 tan emas dan sekuriti dengan jumlah keseluruhan $300 bilion (dalam nilai kini) berjaya dipindahkan ke Montreal.

Objektif Operation Fish

Dengan kekuatan yang dimiliki oleh pihak Nazi, Winston Churchill bimbang England akan jatuh ke tangan Jerman. Objektif utama Operation Fish adalah sekiranya England ditawan oleh Nazi, maka Winston Churchill ingin memimpin negara-negara Commonwealth daripada Ottawa.

Oleh itu, Winston Churchill ingin memindahkan sebanyak mungkin sekuriti dan rizab emas ke Montreal agar ianya boleh digunakan kelak membeli kapal terbang, kereta kebal, peluru dan keperluan senjata daripada Kanada dan Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, ianya bukanlah satu perkara yang mudah kerana terdapat risiko kapal-kapal pengangkutan ini akan ditenggelamkan oleh pihak Nazi.

Operasi yang hampir sama pernah dilakukan pada era Perang Dunia Pertama namun malangnya ianya gagal. Pada ketika itu, 43 tan emas telah cuba dipindahkan daripada Liverpool ke Halifax menggunakan kapal SS Laurentic. Misi tersebut gagal apabila kapal tersebut berjaya ditenggelamkan oleh kapal selam Jerman di sekitar perairan Ireland.

Strategi Operation Fish

Memindahkan jongkong emas dan sekuriti sebanyak itu bukanlah satu perkara yang mudah. Mengambil kira jarak yang jauh antara England dan Kanada serta laluan di lautan terbuka, konvoi mereka mempunyai risiko besae diserang oleh pihak musuh.

Strategi yang digunakan pada ketika itu adalah menggunakan kapal yang banyak dimana hanya segelintir sahaja daripada kapal ini dimuatkan dengan jongkong emas dan sekuriti manakala selebihnya bertindak untuk mengelirukan pihak musuh.

Konvoi ini juga akan diiringi oleh beberapa kapal perang British antaranya HMS Revenge, HMS Resolution, HMS Enterprise, HMS Emerald dan HMS Bonaventure. Selain itu, 3 buah bot pelancongan yang telah diubahsuai turut terlibat dalam operasi ini. Bot pelancong yang lebih laju ini bertindak untuk memintas kapal-kapal pihak musuh.

Keadaan ombak besar dan laut bergelora hampir menggagalkan misi ini apabila bot-bot terpaksa bergerak lebih perlahan. Hal ini memudahkan mereka dikejar dan diserang oleh pihak musuh. Setibanya di pelabuhan Montreal, kesemua jongkong emas dan sekuriti tersebut telah dimuatkan ke dalam kereta api dan bertolak ke Montreal. Perjalanan ke Montreal ini juga telah diiringi oleh 300 orang pengawal keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga.

Setibanya di Montreal, kesemua sekuriti telah dipindahkan ke tempat yang selamat sementara jongkong emas telah meneruskan perjalanan ke Ottawa. Di Montreal, kesemua sekuriti tersebut yang dianggarkan bernilai $230 bilion pada masa kini telah ditempat dalam peti simpanan bawah tanah 3 tingkat di bangunan syarikat Sun Life Assurance. Bangunan ini dikawal ketat oleh pegawai Royal Canadian Mounted Police setiap masa.

Di Ottawa pula, 1500 tan jongkong emas telah ditempatkan di peti besi di bawah bangunan Bank of Canada. Beberapa ratus pekerja bank yang sudah bersara diambil bekerja untuk mengira dan menyusun kesemua simpanan jongkong emas dan sekuriti ini. Setelah Operation Fish tamat, Bank of Canada pada masa itu merupakan antara lokasi penyimpanan jongkong emas terbanyak di dunia.

Adakah misi Operation Fish berjaya?

Bagi Winston Churchill, Operation Fish merupakan satu operasi yang sangat besar dan berisiko tinggi. Mengikut rekod, 134 bot telah berjaya dimusnahkan oleh pihak musuh sepanjang operasi ini. Menariknya, tiada satupun bot atau kapal yang mengandungi jongkong emas dan bot ini berjaya ditenggelamkan oleh pihak Nazi. Dalam erti kata mudahnya, Operation Fish dianggap berjaya kerana simpanan emas dan sekuriti yang berjaya dipindahkan itu boleh digunakan untuk membina kembali kekuatan ketenteraan pihak England.

Operation Fish merupakan satu operasi sulit yang tidak diketahui banyak pihak. Malah, ada pihak yang mendakwa nilai keseluruhan rizab emas dan sekuriti yang dipindahkan ini jauh lebih tinggi daripada jumlah yang dilaporkan di media massa.

sumber:iluminasi.com