Adakah Buah-buahan Bahaya Untuk Pesakit Kencing Manis?

Adakah Buah-buahan Bahaya Untuk Pesakit Kencing Manis?

Seorang pesakit kencing manis mempunyai pantang larang pengambilan makanan, terutamanya yang mempunyai kandungan gula yang tinggi. Bagaimana pula dengan pengambilan buah-buahan yang mempunyai kandungan gula secara semulajadi? Adakah ianya dibolehkan?

Bagi menjawab persoalan ini, pihak iluminasi.com telah diberikan kebenaran oleh Dr. Suhazeli Abdullah untuk menerbitkan kembali penulisan asal di laman Facebook beliau. Sila ikuti laman Facebook Dr. Suhazeli Abdullah untuk info-info perubatan terutamanya berkaitan pemakanan.

Sudah menjadi kefahaman umum bahawa doktor akan menasihati untuk makan buah-buahan dengan kadar yang sedikit bagi pesakit kencing manis. Malah pada masa tertentu doktor akan menghalang terus pesakit tidak memakannya kerana paras gula dalam darah mencanak naik. Kandungan fruktosa dalam buah-buahan juga memainkan peranan penting untuk penghasilan bacaan glukosa dalam darah.

Akan tetapi, terdapat satu sebaran video seorang penceramah dari India yang membuat ujikaji paras gula dalam darah. Penceramah tersebut membuat pembuktian bahawa fruktosa dalam buah-buahan tidak akan meningkatkan paras gula dalam darah melalui mesin glukometer. Darah yang pertama dicampur dengan glukosa, bacaan glukometer tinggi. Sebaliknya apabila darah dicampur dengan fruktosa, bacaannya turun.

Kesimpulan yang beliau buat adalah, makan buah-buahan tidak sesekali akan menaikkan paras gula dalam darah. Kepercayaan yang diberitahu oleh para doktor sejak sekian lama hanyalah tipu. Tuduhan beliau lagi, pihak berkuasa sengaja menutup ‘kebenaran’ ini kerana takut industri perubatan lingkup.

Kesian saya tengok para penonton yang dikelentong oleh beliau. Ujikaji sains ini tidak difahami oleh mereka.

Fungsi Glukometer

Glukometer gunanya untuk kesan kehadiran glukosa dalam darah. Strip yang digunakan mengandungi enzim glucose oxidase. Apabila glukosa darah berindakbalas dengan enzim tersebut, bacaan akan boleh dibaca mengikut paras tertentu. Glukometer hanya untuk tindakbalas glukosa, maka gula fruktosa tidak sesekali akan bertindakbalas. Oleh yang demikian sudah tentu campur sebakul gula fruktosa pun, bacaan glukometer tidak akan mencanak naik.

Bagaimana pula buah-buahan boleh menyebabkan gula dalam darah meningkat? Buah-buahan seperti rambutan, durian, mempelam dan pelbagai lagi mengandungi fruktosa yang tinggi. Apabila kita makan, perut akan memproses dan diserap masuk ke dalam darah. Gula fruktosa itu akan melalui proses penukaran kepada bentuk lain oleh hati:

29 – 54% ditukar —> GLUKOSA
25% ditukar —> LAKTAT

(Glukosa dan Laktat inilah akan dijana sebagai tenaga kepada sel-sel badan)

15-18% pula akan disimpan dalam bentuk GLIKOGEN dan kurang dari 1% ditukar kepada TRIGLISERIDA (Sejenis Kolesterol).

Justeru, gula fruktosa buah akan tetap ditukar dalam jumlah tertentu dalam badan kita walaupun ianya tidak dapat dikesan melalui glukometer.
Nasihat buat pesakit kencing manis

Beberapa nasihat berikut penting kepada pesakit kencing manis dalam penjagaan makan buah-buahan.

Elakkan pengambilan buah-buahan semasa perut kosong. Ini kerana penyerapan gula fruktosa sepenuhnya (setelah ditukar ke glukosa) tidak dapat ditampung oleh insulin yang lemah atau ubat kencing manis.
Pengambilan buah disarankan diambil sejurus selepas hidangan utama, dihadkan kepada 1 hidangan sahaja. Pada masa ini tindakan insulin atau ubat kencing manis adalah optima.
Maksimum 2 hidangan buah untuk sehari.

Berikut adalah contoh-contoh saiz hidangan buah untuk satu unit karbohidrat. Setiap unit membekalkan 15g karbohidrat:

1 biji sederhana epal/oren/belimbing/pear
1 potong nipis betik/nenas/tembikai susu
1/2 biji jambu batu/mangga kecil
5 biji sederhana rambutan/laici
2 biji manggis/jambu air/kedondong/kurma
8-10 biji kecil langsat/duku/anggur/longan
2-3 ulas sederhana cempedak/durian/nangka

Manakala makanan berikut ini pula mengandungi karbohidrat ringkas (gula ringkas) yang akan meningkatkan aras glukosa darah dengan kadar yang cepat.

Senarai makanan yang patut dielakkan atau diminimumkan pengambilannya:

Gula putih, gula merah, gula melaka, gula batu, gula-gula, glukosa
Madu, jem, kaya, susu pekat manis, sirap.
Minuman ringan, minuman kordial
Biskut manis, roti manis, kuih manis, kek, aiskrim, coklat
Air tebu, air kelapa muda, minuman-minuman yang ditambah gula

Sumber: Ilumunasi

Malaysia bakal melaksanakan sistem Tol MLFF bermula 2018

Malaysia bakal melaksanakan sistem Tol MLFF bermula 2018

Berita baik bagi anda yang selalu kemurungan terperangkap di dalam kesesakan jalanraya. Dijangkakan kerajaan Malaysia akan mula melaksanakan percubaan dan penukaran sistem tol kepada Sistem Aliran Tol Tanpa Henti (Multi Lane Free Flow / MLFF) secara berperingkat mulai tahun 2018 dan akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Dengan adanya sistem tol MLFF, anda tidak perlu lagi memperlahankan kenderaan anda memasuki tol. Sensor sistem baru ini menggunakan RFID sebagai penghubung diantara kenderaan dan sensor pengesan tol. Teknologi MLFF bukan sahaja mampu memudahkan perjalanan kenderaan, bahkan ianya juga boleh digunakan untuk mengenalpasti pesalah di jalanraya, pengawalan trafik, dan juga pengawasan cukai jalan kenderaan.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek perintis bagi sistem terbabit telah dimulakan di Taman Teknologi Malaysia (TPM) bersama syarikat swasta dengan dana daripada Kementerian Sains, Tek­no­logi dan Inovasi (MOSTI).

Antara faktor yang menyebabkan kelewatan implementasi MLFF

Memerlukan perubahan dan pindaan undang-undang.
Memerlukan kerjasama dan persetujuan agensi-agensi kerajaan.
Memerlukan implementasi cukai jalan kenderaan beserta tag RFID.

Kebaikan Multi Lane Free Flow

Anda tidak perlu memperlahankan kenderaan memasuki tol.
Sistem yang sangat efisyen, digitalisasi, dan boleh mengelakkan fraud.
Pengurangan kos penyelenggaran dan pengurusan sistem tol.

Keburukan Multi Lane Free Flow

Pengurangan peluang pekerjaan
Memerlukan sistem yang sangat berkuasa tinggi dan diyakini bagi mengelakkan kesilapan teknikal justeru boleh menyebabkan kerugian.
Memerlukan sistem komunikasi rangkaian yang berkuasa tinggi bagi mengelakkan sistem offline.
Kos implementasi yang tinggi dalam penyediaan sistem dan infrastruktur.


Rujukan :

1. TheSunDaily

2. MOSTI

3. Mitsubishi Heavy Industries

4. Wikipedia MLFF

Sumebr : Iluminasi

IQ Anak Kelahiran Malaysia Ini Melebihi IQ Stephen Hawking

IQ Anak Kelahiran Malaysia Ini Melebihi IQ Stephen Hawking

Dalam artikel yang lalu iluminasi.com banyak berkongsi mengenai tahap IQ, dan apakah kepentingan IQ. Malaysia berada di tangga ke-15 dunia berkongsi kedudukan dengan Ireland dan Greece, dengan purata IQ sebanyak 92.

Rekod tahap IQ paling tinggi di Malaysia ketika ini dipegang oleh Dr. Looi Hoong Thoong, orang yang bertanggungjawab mencipta perisian anti-virus V-Buster, dengan IQ 180. Rekod itu sebelum ini dipegang oleh Chiang Ti Ming, dengan IQ 181, namun beliau telah meninggal dunia pada tahun 2007 ketika berusia 31 tahun.

Namun, terdapat seorang lagi warga Malaysia, yang mana kini diberikan gelaran remaja paling pintar di Australia. Beliau adalah Sharvin Jeyendran, yang kini menetap di Australia, dengan IQ 168, iaitu 8 mata lebih tinggi daripada ahli fizik terkemuka dunia, Stephen Hawking.

Komuniti tinggi IQ, Mensa telah dicalonkan sebagai kanak-kanak paling pintar di Australia selepas IQ yang ditunjukkan Sharvin menjadikannya tergolong dalam 2% manusia paling pintar di dunia.

Menurut ibu bapanya, beliau adalah seorang yang genius secara semulajadi kerana tidak pernah dipaksa secara akademik. Kanak-kanak genius yang berusia 15 tahun ini kini bersekolah di Sacred Heart College, Western Australia, Australia dan merupakan anak kepada pasangan peguam, Jeyendran Ramachandran dan Deva Menon. Pasangan suami isteri ini menamatkan pelajaran jurusan undang-undang di United Kingdom.

Mereka sekeluarga berpindah ke Australia pada Januari 2015. Kepintaran Sharvin mula dikesan pada awal usia di mana beliau sudah mampu berjalan dan bertutur ketika berusia 9 bulan. Menurut ibunya, Sharvin sudah boleh bertutur seperti kanak-kanak normal menggunakan ayat dan tatabahasa yang lengkap, ketika berusia lingkungan 2 hingga 3 tahun.

“Kami menggalakkannya, dan otak kanak-kanak seperti span yang mampu menyerap apa sahaja,” jelas ibunya.

Sharvin bukan sahaja pintar dalam akademik seperti mendapat markah tertinggi dalam semua subjek di sekolah, beliau juga pandai bermain piano, fasih berbahasa Perancis. Beliau juga mewakili Australia dalam Kejohanan Scrabble Remaja Dunia.

Bercita-cita tinggi, Sharvin memberitahu bahawa beliau ingin menjadi seorang saintis biologi, dan mahu mencari penawar kanser.

“Saya juga mahu menjadi seorang ahli biologi marin dan meneroka lautan, dan juga mahu mempunyai organisasi amal untuk membantu orang miskin di seluruh dunia,” jelas kanak-kanak genius ini.

Menurut pegawai rekrut Mensa Australia, Geoff Russell, kanak-kanak yang lebih pintar dan mempunyai prestasi melebihi rakan sebaya mereka akan sukar untuk menyesuaikan diri. Mereka akan berasa terasing dan mula untuk menidakkan kepintaran sendiri kerana tidak mahu kelihatan pelik di sekolah.

Namun, ia tidak berlaku kepada Sharvin. Walaupun merupakan antara manusia terpintar di dunia, Sharvin masih menjalani kehidupan seperti remaja yang lain seperti bermain bola keranjang dan bola sepak di halaman rumahnya.

“Saya sangat gembira mempunyai IQ yang tinggi, namun saya masih mempunyai ramai kawan, dan bergaul dengan semua orang.

Adik perempuan Sharvin iaitu Shireeya yang berusia 10 tahun merupakan seorang yang genius dalam bidang muzik, yang mula bersenandung (humming) seawal 6 bulan, dan mula menyanyi ketika berusia 18 bulan.

Rujukan :

1. Reader’s Digest

2. WA Today

3. Daily Telegraph

Sumber: Iluminasi

Ini Sebab Otak Albert Einstein Lebih Genius Daripada Orang Biasa

Ini Sebab Otak Albert Einstein Lebih Genius Daripada Orang Biasa

Albert Einstein boleh dikatakan ahli fizik paling hebat pada abad ke-20 dan kepintarannya yang luar biasa telah lama membuatkan orang awam dan juga para saintis terpinga. Beliau merupakan antara manusia yang mempunyai IQ tertinggi dalam sejarah manusia.

Antara penemuan paling terkenal yang dilakukan oleh Albert Einstein adalah teori relativiti E=Mc^2. Namun, apakah yang membuatkan beliau begitu genius, berbanding orang lain?

Saintis neurologi telah lama mengesyaki bahawa otak Albert Einstein adalah tersangat unik. Ketika masih hidup, ramai yang tertanya-tanya mengenai perkara ini. Disebabkan itu, beliau mendesak dan membenarkan otaknya untuk digunakan dalam kajian selepas kematiannya.

Pada 18 April 1955, 8 jam selepas kematiannya, otak Albert Einstein dikeluarkan dan dipelihara. Ahli patologi, Thomas Harvey membuat sampel dan seksyen terhadap otak tersebut. Ketika itu, Thomas melaporkan bahawa beliau tidak menemui apa-apa yang luar biasa. Variasi otak Albert Einstein berada dalam lingkungan variasi manusia biasa.

Kajian terbaru yang dilakukan adalah yang pertama memperincikan bahagian corpus callosum dalam otak Einstein. Corpus callosum adalah serat gentian saraf tebal yang memisahkan serebrum otak kepada 2 bahagian iaitu hemisfera kiri dan kanan.

Perhubungan ini membolehkan kedua-dua hemisfera otak untuk berkomunikasi, termasuklah penghantaran maklumat motor, deria, dan kognitif. Kajian tersebut dilakukan oleh WeiWei Men dari Jabatan Fizik di East China Normal Universiti yang mencipta teknik terbaru untuk mengukur dan membandingkan perbezaan ketebalan corpus callosum.

Bagi melakukan sesuatu aktiviti, kedua-dua bahagian otak dihubungkan dan ia dilakukan dengan menyeberangi corpus callosum. Jadi semakin tebal corpus callosum, semakin kuat hubungan komunikasi bagi bahagian-bahagian tertentu oleh kedua-dua hemisfera otak.

Bagi otak Einstein, corpus callosum beliau mempunyai hubungan yang sangat kuat di antara 3 bahagian otak yang menarik iaitu prefrontal cortex (kawal pemikiran abstrak dan membuat keputusan), lobus parietal (deria dan fungsi motor) dan korteks visual (visualisasi).
Lobus parietal 15% lebih besar

Gambar di atas menunjukkan perbandingan otak normal dan otak Einstein. Pada otak normal terdapat bahagian yang dipanggil operculum parietal dan inferior parietal lobe (kebolehan matematik dan pertimbangan visual). Namun, bahagian operculum parietal tidak kelihatan dalam otak Einstein dan membuatkanbahagian ini inferior parietal lobe membesar 15% daripada biasa.

Kajian ini diterbitkan dalam The Lancet, sebuah jurnal British. Para saintis mempercayai bahawa penemuan ini menjelaskan mengapa beliau genius. Ia kerana teori kepintaran berkait dengan fungsi lobus parietal, terutamanya ciri-ciri yang melibatkan kognisi visual-spasial, idea matematik, dan imej pergerakan.

Jadi, adakah corpus callosum yang berhubung dengan sangat baik ini menyumbang kepada Einstein yang genius? Kemungkinan besar. Bukan itu sahaja, malah, otak Einstein juga mempunyai nisbah sel glial yang sangat tinggi berbanding individu biasa, serta korteks prefrontal yang bersaiz luar biasa.

Jika digabungkan, ciri-ciri ini membuatkan Einstein mempunyai kebolehan visuosptaial dan matematik yang sangat menakjubkan, termasuk kecenderungan untuk berfikir ketika bereksperimen.

Rujukan :

1. io9

2. Academic

3. History

Sumber: Iluminasi

5 Manusia Biasa Yang Mempunyai Kebolehan Luar Biasa Akibat Kerosakan Pada Otak Mereka

5 Manusia Biasa Yang Mempunyai Kebolehan Luar Biasa Akibat Kerosakan Pada Otak Mereka

Dalam dunia kita, dianggarkan ada lebih kurang 1 dalam sejuta orang yang mengalami satu kondisi yang dinamakan sindrom savant dengan penemuan pertama ditemui pada tahun 1783. Sindrom savant ini mampu membuatkan seseorang itu mempunyai kelebihan melebihi orang biasa dalam pelbagai bidang, namun kebiasaannya tertumpu dalam satu atau dua bidang.

Mereka yang mempunyai kemahiran ini selalunya mempunyai kemahiran luar biasa dalam satu atau lebih bidang yang selalunya berkait dengan seni, daya ingatan, daya pengiraan dan juga kemahiran mengolah objek 2 dimensi atau 3 dimensi. Dianggarkan setakat ini, laporan terhadap sindrom savant ini berjumlah kurang daripada 100 kes, dengan kemahiran luar biasa mengingati hari dalam kalendar menjadi kes paling banyak.

Berikut adalah 5 individu yang bertaraf savant dalam 5 bidang berbeza yang kami harap dapat kami kongsikan kepada anda.

1. Orlando Serrell

Orlando Serrell adalah seorang budak berusia 10 tahun yang gemar bermain permainan besbol. Pada satu hari, akibat pukulan salah seorang kawannya, bola yang dipukul terkena kepalanya sehingga dia terbaring di atas tanah. Orlando kemudiannya bangun dan meneruskan permainan seperti biasa seperti tidak ada apa-apa berlaku.

Beberapa hari kemudian, dia mula mengalami sakit kepala yang dahsyat namun menyembunyikannya daripada pengetahuan ibu bapa beliau. Selepas sakitnya surut, dia mula menyedari dirinya mempunyai satu kebolehan yang tidak dipunyainya sebelum itu – dia mampu mengetahui segala jenis maklumat yang terkandung dalam kalendar, mengingati hari apa pada tarikh sekian-sekian, tarikh-tarikh akan datang dan dia juga mula dapat mengingati cuaca pada tarikh-tarikh yang telah lalu.

Apa yang mengkagumkan, Orlando tidak menggunakan sebarang pengiraan untuk tahu maklumat yang diminta, dia secara automatik tahu. (rujukan)

2. Jason Padgett

Selepas sesi karaoke pada satu malam tahun 2002, Jason Padgett, seorang penjual perabut dari Washington, diserang oleh dua orang lelaki yang mahu merompaknya. Dibelasah dan disepak di bahagian kepala dan badan, Jason mengalami trauma teruk pada beberapa organ penting. Jason pengsan selepas itu namun apabila dia sedarkan diri, penglihatannya berbeza.

Dia mula melihat bentuk-bentuk geometri di sekelilingnya yang dibentuk oleh garisan-garisan yang dia tidak faham, mengubah rupa dunia pada visinya. Selepas dia mula menterjemahkan apa yang dia nampak dalam bentuk lukisan, barulah pakar menyedari apa yang dia lukis sebenarnya mempunyai perkiraan-perkiraan matematik dalam bentuk visual.

Jason diberitakan bukan seorang yang handal dalam matematik dan juga bukan seorang pelukis. Insiden itu membolehkan Jason mampu menterjemahkan formula matematik dalam bentuk geometri dan yang lebih hebat, dia melakukannya dengan tangan, tanpa memerlukan peralatan khas untuk melukis bentuk yang dilihatnya. (rujukan)

3. Derek Amato

Melakukan aksi berani terjun ke dalam sebuah kolam renang yang agak cetek, kepala Derek Amato terhentak pada permukaan kolam menyebabkan dia kehilangan hampir 35% pendengarannya. Bagaimanapun, kecederaan pada kepalanya itu menyebabkan dia mempunyai satu kebolehan luar biasa;

Dia mula mampu mendengar muzik setiap masa. Derek juga entah kenapa, tiba-tiba berkemahiran tinggi dalam piano sedangkan dia langsung tidak mempunyai kebolehan bermain piano sebelum itu. Mampu mencipta pelbagai melodi indah, kebolehan Derek menarik minat ramai pihak bagi menyaksikan sendiri kebolehannya.

Walaupun mempunyai kebolehan luar biasa mencipta lagu dengan piano yang dilakukannya secara mudah sekali, Derek mengakui ada harga yang perlu dia bayar. Dia kerap mengalami sakit kepala dan sensitif terhadap cahaya yang terang. Sehingga kini ayah kepada 3 orang anak ini meneruskan kerjaya barunya dalam bidang muzik kerana dalam kepalanya, selagi dia sedar – muzik dalam kepalanya tidak pernah berhenti. (rujukan)

4. Alonzo Clemons

Alonzo Clemons bukanlah seorang kanak-kanak normal. Semenjak usianya 3 tahun atas kecederaan pada kepalanya, dia tergolong dalam golongan kurang upaya dengan nilai IQ yang dianggarkan pada tahap 40, jauh lebih rendah berbanding tahap normal orang biasa. Akibat kerosakan pada otaknya, dia mempunyai masalah percakapan dan kekurangan kemahiran untuk melakukan perkara-perkara rutin seperti memakai pakaian sendiri.

Bagaimanapun, apabila diberikan tanah liat – dia sejak kecil mampu membentuk tanah liat tersebut sehingga menjadi bentuk haiwan yang agak realistik. Kebolehannya berkembang hari ke hari sehinggalah kini, dia menjadi salah seorang pengukir paling terkenal di dunia.

Kehebatan Alonzo ini bukannya datang tiba-tiba seperti individu lain dalam senarai ini, namun semuanya bermula sejak kecil di mana dia mampu membentuk semula haiwan yang dia lihat walaupun dalam sejenak, dengan anatomi yang betul dalam bentuk 3 dimensi tanpa perlu gambar rujukan. Dia seperti dapat menyimpan sendiri imej dalam kepalanya untuk diterjemahkan dan masa yang digunakan oleh Alonzo untuk mengukir pula, jauh lebih singkat berbanding orang lain.

Untuk satu ukiran kecil haiwan yang dilihatnya sekilas lalu, dia hanya memerlukan 20 minit bagi satu bentuk haiwan. (rujukan)

5. Daniel Tammet

Mengalami sawan yang merencatkan otaknya ketika berusia 3 tahun, Daniel Tammet semenjak itu mula obses untuk mengira, tak kira apa benda sekalipun. Kecacatan pada otaknya juga mengakibatkan dia diiktiraf seorang autistik – tidak berkebolehan memandu, membetulkan pendawaian elektrik malahan sukar membezakan kiri dan kanan. Tetapi jika kita tanya Daniel soalan matematik tak kiralah sesukar mana pengiraannya, dia dapat menjawab seimbas lalu tanpa perlu mengira.

Semenjak mengalami sawan, Daniel mula melihat nombor sebagai bentuk, warna dan tekstur yang membolehkan dia melakukan matematik tanpa perlu berfikir – kerana pada dia, matematik adalah visual yang sentiasa berubah memberikan dia jawapan kepada pengiraan.

Mampu menguasai 7 bahasa Perancis, Jerman, Sepanyol, Lithuania, Icelandinc dan Esperanto, Daniel dalam proses membina bahasanya sendiri. Hidupnya sukar berikutan rutin dirinya yang ketat berdasarkan peraturannya sendiri. Dia perlu minum teh pada waktu yang sama setiap hari. Rutin mandinya perlu sama setiap hari. Apa saja yang menganggu rutinnya hanya akan membuatkan dia tidak selesa.

Daniel menjadi satu-satunya manusia didunia yang mampu menyebut angka perpuluhan angka ‘pi’ sehingga 22,514 titik perpuluhan, sesuatu yang sukar untuk dipaparkan dalam kalkulator. Namun bagi Daniel, benda tu mudah kerana pada matanya, dia nampak nombor tersebut jadi Daniel tidak ada masalah untuk menyebut nombor tersebut dari awal atau dari hujung. Untuk setiap kali bacaan, dia perlu menghabiskan masa selama 5 jam bagi menyebut kesemua angka yang ada. (rujukan)

Sumber: Iluminasi

Sejarah Menarik Di Sebalik Penciptaan Nombor Kosong (0)

Sejarah Menarik Di Sebalik Penciptaan Nombor Kosong (0)

Nombor kosong (0) dicipta secara bebas atau berasingan oleh bangsa Babylon, Maya dan India. Sesetengah pengkaji sejarah berpendapat bahawa sistem nombor India dipengaruhi oleh hasil kerja Babylon.
Sejarah Awal Nombor Kosong (0) Di Babylon


Sumber Foto: en.wikipedia.org

Babylon mewarisi sistem nombor daripada Sumeria. bangsa pertama yang mencipta sistem kiraan kira-kira 4000 hingga 5000 tahun lalu. Sistem berkenaan mengambil kira kedudukan sesuatu simbol relatif kepada kedudukan simbol yang lain.

Sistem kiraan Sumeria diwariskan kepada Empayar Akkadia dan seterusnya kepada Empayar Babylon sekitar tahun 300 BC.

Para ilmuan bersetuju bahawa di Babylon lah satu simbol dicipta sebagai suatu ‘placeholder’, yakni simbol untuk membezakan jumlah, contohnya antara 10 daripada 100, atau 225 daripada 2025.

Pada awalnya, bangsa Babylon membiarkan ruangan kosong dalam sistem nombor kuneiform mereka. Namun setelah berlaku terlalu banyak kekeliruan akibat sistem berkenaan, mereka menambah satu simbol, iaitu ‘two angled wedges’ bagi mewakili ruangan kosong.

Bagaimanapun, mereka tidak pernah terlintas di fikiran mereka untuk menjadikan kosong sebagai nombor, hanya sebagai suatu simbol.
Sejarah Awal Nombor Kosong (0) Di Amerika Oleh Masyarakat Maya

Sumber Foto: sites.google.com

600 tahun kemudian di sebuah kawasan sejauh 20,000 km dari Babylon, bangsa Maya mencipta kosong sebagai ‘placeholder’ di dalam sistem kalendar mereka yang sangat kompleks.

Walaupun mempunyai ramai pakar matematik, mereka tidak pernah menggunakan nombor kosong di dalam persamaan (equation) mereka.
India Mengangkat Kosong (0) Menjadi Nombor


Sumber Foto: viraldazed.com

Sesetengah para ilmuan beranggapan bahawa konsep kosong telah sampai ke India dan konsep ini dikembangkan di sana, namun sesetengah yang lain percaya bangsa India mencipta konsep nombor kosong secara sendiri tanpa pengaruh luar.

Konsep kosong pertama kali digunakan di India sekitar tahun 458 AD. Pada waktu berkenaan, persamaan matematik telah digunakan secara meluas berbanding pengunaan simbol-simbol semata-mata.

Konsep yang sama turut digunakan di dalam penyampaian puisi melalui perkataan-perkataan seperti ‘void’, ‘sky’ atau ‘space’ bagi melambangkan kosong.

Pada tahun 628 AD, seorang ahli astronomi dan matematik India iaitu Brahmagupta telah mencipta sebuah simbol untuk mewakili kosong, dengan meletakkan titik di bawah nombor.

Beliau juga mencipta operasi matematik yang menggunakan kosong, menulis ‘peraturan’ bagi mendapatkan kosong melalui operasi tambah dan tolak, serta menunjukkan hasil penggunaan kosong di dalam persamaan.

Inilah kali pertama di dunia kosong diiktiraf sebagai nombor, sebagai sebuah idea dan simbol.
Penggunaan Nombor Kosong (0) Di Timur Tengah


Sumber Foto: infobiografi.com


Sumber Foto: raudhahjiwa.blogspot.my

Beberapa ratus tahun berikutnya, konsep nombor kosong menjadi popular di China dan Timur Tengah.

Menurut Nils-Bertil Wallin dari YaleGlobal, sehingga tahun 773 AD, konsep ini sampai ke Baghdad dan menjadi sebahagian daripada sistem nombor Arab, yang berdasarkan sistem nombor India.

Seorang ahli matematik Islam dari Farsi iaitu Mohammed ibn-Musa al-Khowarizmi mencadangkan bulatan kecil digunakan di dalam pengiraan sekiranya tiada nombor pada kedudukan puluh.

Masyarakat Arab menggelar bulatan ini sebagai ‘sifr’ atau kosong. Masyarakat Malaysia merujuk kepada ‘sifr’ ini sebagai sifar. Nombor kosong sangat penting bagi Al-Khowarizmi, individu yang bertanggungjawab mencipta algebra pada kurun ke-9.

Beliau turut mencipta kaedah pantas bagi operasi matematik darab dan bahagi, yang kita rujuk sebagai algorithms.
Penyebaran Konsep Nombor Kosong (0) Di Eropah


Sumber Foto: theapothetae.org

Konsep kosong juga sampai ke Eropah, melalui penaklukan Sepanyol oleh bangsa Moorish. Konsep ini kemudiannya dikembangkan lagi oleh seorang ahli matematik dari Itali iaitu Fibonacci.

Beliau menggunakan kosong dalam persamaan matematik tanpa menggunakan abaskus. Penggunakan alat ini sangat lazim pada ketika itu bagi menyelesaikan masalah aritmetik.

Perkembangan konsep ini menjadi sangat popular dalam kalangan pedagang. Para pedagang menggunakan persamaan yang dikembangkan oleh Fibonacci (melibatkan penggunaan nombor kosong) bagi mengimbangkan kiraan kewangan mereka.
Pengharaman Penggunaan Nombor Kosong (0) Di Itali

Kerajaan Itali berasa curiga dengan sistem nombor Arab dan mengharamkan penggunaan nombor kosong. Para pedagang terus menggunakan nombor ini secara sembunyi dan rahsia.

Perkataan Inggeris ‘Cipher’ yang membawa kod rahsia, atau salah satu elemen matematik sebenarnya berasal daripada perkataan Arab ‘sifr’. Mungkin boleh dikaitkan dengan peristiwa di atas.

Sehingga kurun ke-16, nombor kosong telah digunakan secara meluas di Eropah. Nombor ini menjadi asas kepada sistem koordinat (Cartesian) oleh Rene Descartes, serta perkembangan konsep kalkulus oleh Sir Isaac Newton dan Gottfried Wilhem Liebniz.

Peranan kalkulus sangat penting dalam bidang fizik, kejuruteraan, pengkomputeran, dan kebanyakan teori ekonomi dan kewangan.

Rujukan:

quora.com

Sumber: Iluminasi

Agen Oren : Kesan Penggunaan Senjata Kimia Semasa Perang Vietnam

Agen Oren : Kesan Penggunaan Senjata Kimia Semasa Perang Vietnam

Dalam sejarah, Perang Vietnam merupakan antara perang yang paling dahsyat dan diingati disebabkan jumlah orang yang terbunuh dan penggunaan senjata kimia yang masih meninggalkan kesan kepada penduduk tempatan sehingga generasi masa kini. Dianggarkakn 3 juta manusia terkorban dalam peperangan ini.

Peperangan ini terjadi antara pihak kerajaan Selatan Vietnam dan kerajaan Utara Vietnam. Walaupun kedua-dua kerajaan ini mempunyai cita-cita yang sama untuk menggabungkan kedua-dua bahagian Vietnam ini untuk menubuhkan sebuah negara Vietnam, perbezaan fahaman antara kedua kerajaan ini menghalangnya. Pada ketika itu, kerajaan Utara Vietnam berfahaman komunis sementara kerajaan Selatan Vietnam pula berfahaman anti-komunis.

Amerika Syarikat pada ketika ingin menghalang penyebaran fahaman komunis telah bertindak menghantar bantuan ketenteraan kepada kerajaan Vietnam Selatan. Perang ini berlaku pada tahun 1955 hingga tahun 1975. Tempoh perang yang panjang ini telah memaksa Amerika Syarikat bertindak agresif melancarkan sebuah operasi menggunakan senjata kimia. Operasi ini dikenali sebagai Operasi Ranch Hand.

Penggunaan Agen Oren

Antara strategi yang digunakan pihak Amerika Syarikat adalah memutuskan bekalan makanan musuh. Bagi tujuan ini, mereka telah merancang untuk memusnahkan hutan-hutan dan ladang-ladang penduduk tempatan yang disyaki menyalurkan bantuan makanan kepada pihak musuh.

Untuk memusnahkan kawasan hutan dan ladang, cecair kimia yang dirumus khas telah dihasilkan. Cecair kimia ini diberi nama nama Agen Oren. Selama 10 tahun lamanya, helikopter dan jet pejuang Amerika Syarikat telah menyembur cecair ini ke kawasan hutan dan ladang tanaman milik penduduk.

Para saintis yang menghasilkan cecair kimia ini berjanji bahawa ianya hanya membunuh tumbuh-tumbuhan dan tidak akan mempunyai kesan sampingan kepada manusia. Untuk mempercepatkan usaha merosakkan hutan dan ladang tanaman penduduk, Amerika Syarikat bertindak menggunakan bahan kimia ini pada konsentrasi yang lebih daripada yang kebiasaannya digunakan.

Dari satu sudut, usaha mereka ini dianggap berjaya mencapai matlamatnya. Dikatakan 5 juta ekar hutan dan ladang tanaman berjaya dimusnahkan oleh cecair kimia ini. Walaupun begitu, tanpa mereka sedari penggunaan cecair kimia ini mempunyai kesan yang lebih dahsyat tanpa kepada manusia dan alam sekitar.

Kesan sampingan kepada manusia

Kesan cecair Agen Oren ini kepada manusia hanya dapat dilihat selepes beberapa tahun ianya digunakan. Walaupun bahan kimia ini disembur ke hutan dan ladang tanaman, kira-kira 4 juta manusia telah terdedah kepada bahan berbahaya ini melalui hasil tanaman yang diperolehi dari ladang-ladang tanaman yang telah disembur dan juga melalui pernafasan.

Cecair kimia ini mempunyai kesan yang sangat dahsyat. Beberapa tahun selepas penggunaan Agen Oren, banyak bayi yang dilahirkan di Vietnam mengalami kecacatan fizikal dan mental. Malah, kebanyakan bayi juga dilaporkan mengalami mutasi yang teruk. Ada diantaranya yang mempunyai lebih banyak jari, tangan dan kaki daripada manusia normal malah ada yang dilahirkan tanpa mata.

Kecacatan fizikal dan masalah mental menyukarkan generasi baru yang dilahirkan ini meneruskan hidup seperti manusia normal yang lain. Kebanyakan yang dilahirkan cacat ini akan diasingkan dan ditempatkan di sebuah perkampungan khas yang digelar Peace Village. Di sini terdapat pekerja khas yang akan menjaga dan menguruskan mereka agar dapat hidup dengan sempurna.

Walaupun kejadian ini sudah berlaku berpuluh tahun, kesan mutasi daripada cecair Agen Oren ini dikatakan masih wujud sehingga ke hari ini. Terdapat bayi-bayi yang dilahirkan cacat dan tidak dapat diselamatkan sejurus selepas kelahiran.

Di hospital yang terletak di Peace Village ini, terdapat sebuah bilik khas yang menyimpan mayat bayi cacat atau janin cacat yang mati dalam kandungan. Ada yang mempunyai 2 kepala, tiada mata, bentuk anggota kaki yang pelik dan sebagainya. Mayat-mayat ini tetap disimpan sebagai peringatan kepada generasi akan datang tentang bahayanya penggunaan senjata kimia terhadap manusia.

Kesan kepada alam sekitar dan tentera Amerika Syarikat

Walaupun kesan penggunaan Agen Oren lebih dirasai penduduk tempatan, askar-askar Amerika Syarikat dilaporkan turut mendapat kesan sampingan. Rekod kesihatan askar veteran Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kebanyakan yang terlibat secara langsung dengan Agen Oren seperti penghasilan dan penyemburan cecair tersebut, menghadapi pelbagai masalah kesihatan dan penyakit seperti lymphoma, leukemia dan kancer.

Kerana konsentrasi Agen Oren yang sangat tinggi daripada yang biasanya digunakan untuk meracun tanaman, kesannya masih wujud kepada kawasan yang disembur. Walaupun sudah berpuluh tahun, tiada tumbuh-tumbuhan yang mampu hidup di kawasan yang telah disembur dengan cecair merbahaya ini. Ini menunjukkan bahawa tanah di kawasan yang terlibat masih tercemar dengan cecair Agen Oren ini seterusnya menghalang pertumbuhan pokok di kawasan tersebut.

Kesan buruk yang dapat dilihat daripada penggunaan senjata kimia semasa Perang Vietnam ini mengingatkan kita akan bahaya penggunaan senjata kimia kepada manusia dan sekitar. Ianya bukan sahaja membunuh, malah boleh mengakibatkan kejadian yang lebih buruk lagi kepada manusia antaranya mutasi dan pelbagai penyakit berbahaya seperti leukimia dan kanser.

Kredit:

Military.com
WikiPedia
NY Times

Sumber: Iluminasi

Mydin – Kisah Bagaimana Daripada Sebuah Kedai Runcit Menjadi Empayar Hypermarket

Mydin – Kisah Bagaimana Daripada Sebuah Kedai Runcit Menjadi Empayar Hypermarket

Siapa tak kenal dengan Mydin Mohamed Holdings. Ia merupakan syarikat perniagaan dan borong yang terbesar di Malaysia. Dengan slogan terkenal, “Mengapa bayar lebih? Belilah dengan harga borong”, pasaraya besar Mydin kini dianggap sebagai tempat utama untuk membeli belah, dengan keuntungan tahunan mencecah RM2.6 billion.

Ia merupakan hasil usaha pengasasnya, Allahyarham Mydin Mohamed dengan bantuan ahli keluarganya, yang menjadikan nama Mydin dikenali di serata Malaysia.

Namun, setiap kejayaan pasti ada pengorbanan dan cabaran tersendiri. Dan bagi setiap yang di atas, pasti bermula dari bawah. Begitu juga dengan Mydin. Dan walaupun pengasas Allahyarham Mydin Mohamed telah pergi meninggalkan kita pada tahun 2016, namun ia legasi ditubuhkannya sangat bermanfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sejarah awal Mydin

Pengasasan pasaraya Mydin bermula hampir 100 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1918 oleh bapa beliau, Gulam Husen Bin Jamal. Datuk kepada Mydin Mohamed iaitu Jamal, serupakan seorang imigran Muslim dari India. Pada tahun 1928, Mydin Mohamed dilahirkan di Pulau Pinang. Perniagaan runcit keluarga mereka bermula pada tahun 1940 di pasar malam.


pengasas mydin

Namun malang sekali kedai tersebut telah dibakar ketika Perang Dunia Kedua melanda dan membuatkan keluarga mereka kehilangan segala-galanya. Tragedi itu walaubagaimanapun tidak mematahkan semangat Mydin. Beliau semakin bersemangan dan dengan keazaman, kesungguhan dan kepercayaan yang ada, beliau meneruskan perniagaan borong tersebut.

Mydin Mohamed berkahwin ketika beliau berusia 21 tahun, dengan seorang gadis dari India, bernama Roshwan Bai. Perkongsian hidup pasangan ini dikurniakan anak seramai 7 orang, 4 daripadanya lelaki dan 3 perempuan.


Mydin pertama di jalan Tok Hakim Kota Bharu

Ketika berusia 29 tahun, berbekalkan modal yang ada, Mydin Mohamed membuka kedai runcit pertamanya pada tahun 1957. Kedai kecil yang hanya berdindingkan kayu itu diberi nama Syarikat Mydin Mohamed, terletak di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu, Kelantan. Mydin memulakan perniagaan dengan menjual mainan kanak-kanak dan barangan am.

Beliau yang tidak keseorangan dan dibantu oleh anak-anaknya. Berkat kesabaran dan percaturan perniagaan yang baik, bisnes Mydin mula melebarkan sayap ke Terengganu pada tahun 1979. Pada tahun 1987, anak kedua Mydin Mohamed iaitu Datuk Ameer Ali, menyertai Syarikat Mydin Mohamed.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana dalaam Perniagaan Antarabangsa dari Sonoma State University, California bekerja di Arab Malaysian Merchant Bank terlebih dahulu sebelum menyertai perniagaan keluarga.

Dan pada tahun 1989, nama Mydin telah dibawa ke Lembah Klang apabila cawangan di Jalan Masjid India dibuka. Pembukaan cawangan ini merupakan satu titik tolak perubahan industri peruncitan di Malaysia dan permulaan kejayaan Mydin Mohamed Holdings. Cawangan di Jalan Masjid India mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan.

Ini memberikan keyakinan kepada Datuk Ameer yang kini CEO syarikat ini, untuk membuka pasaraya besar Mydin pertama di Subang Jaya. Namun ia tidak semudah itu. Walaupun perniagaan mereka kelihatan berjaya, namun tidak mudah untuk mendapatkan pembiayaan dari bank untuk membina Mydin Subang Jaya.

Tiada bank mahu beri pinjaman untuk luaskan perniagaan

Menurut Datuk Ameer, tiada satu bank pun mahu memberikan pinjaman ketika mereka mahu membuka Mydin Subang Jaya. “Ia adalah satu kerja gila untuk membuka sebuah pasaraya besar berdekatan dengan pasaraya yang sudah kuat dan terkenal (Giant). Bagaimana anda mahu bersaing dengan syarikat sebesar itu?”, kata pihak bank kepada beliau.

Datuk Ameer juga diingatkan oleh pihak bank bahawa ia adalah satu risiko besar untuk membuka cawangan di Subang Jaya kerana Mydin terkenal dengan barangan murah dan pasarannya terhad kepada kawasan berpendapatan rendah seperti di Jalan Masjid India dan bandar-bandar kecil.

Namun apa yang dijawab oleh Datuk Ameer sangat bernas. “Orang Malaysia suka pergi pasar malam kan? Kenapa? Kerana barangannya murah. Saya tinggal di Bangsar yang merupakan kelas pertengahan (ketika itu). Pernah tak anda pergi ke pasar malam di situ? Orang masih mahukan belian yang baik,”.


Mydin Subang Jaya pasaraya besar pertama Mydin

Tak berputus asa mendapatkan dana selepas ditolak oleh beberapa buah bank, beliau akhirnya mendapat pinjaman daripada Bank Arab-Malaysian Berhad. Terbukti gerak hati beliau kuat, pasaraya Mydin Subang Jaya mendapat sambutan, dan selepas setahun beroperasi mereka terpaksa menambah tempat letak kereta untuk menampung jumlah pelanggan.

“Belajar dari kesilapan dan teruskan perjuangan. Sesebuah organisasi tak akan berkembang jika takut untuk melakukan kesalahan,” – Datuk Ameer Ali Mydin

Kejayaan itu menjadi satu batu loncatan kepada Datuk Ameer dan kumpulan syarikat Mydin untuk memperluaskan lagi empayar mereka. Kini pihak bank sudah mempercayai pelan perniagaan yang dibawa oleh Mydin, tiada halangan lagi untuk Datuk Ameer membuka cawangan demi cawangan bermula daripada pasaraya besar sehinggalah kedai runcit dan pasaraya mini, mengikut lokasi.

Apa yang hanyalah sebuah kedai runcit berdindingkan kayu kini telah bertukar menjadi perniagaan pasaraya besar bernilai bilion ringgit. Bermula dengan dirinya sendiri, Mydin Mohamed, dan juga bantuan isteri serta anak-anaknya, kini kumpulan syarikat ini mempunyai lebih daripada 6,500 pekerja dengan perolehan tahunan sebanyak RM3 billion.

Dan daripada hanya menjual mainan kanak-kanak, barangan rumah dan runcit, kini Mydin meniagakan hampir setiap aspek perniagaan peruncitan.

Segala pengorbanan dan kegigihan kini terbalas apabila Mydin Mohamed Holdings kini mempunyai lebih daripada 270 buah kedai, termasuklah 18 pasaraya besar, 16 emporium, 3 bazaar, 48 pasar mini, 8 kedai serbaneka (MyMart), 6 cawangan beroperasi sebagai Mydin Mart, 7 kedai runcit premium (SAM’s Groceria), 2 kedai makan premium (SAM’s Deli), dan terbabit dengan 162 buah Kedai Rakyat 1Malaysia di serata Malaysia.

Dan bagi yang tak tahu SAM’s Groceria dan SAM’s Deli adalah milik Mydin Mohamed Holdings, SAM adalah singkatan kepada “Saya Anak Malaysia”.

Datuk Ameer juga berkongsi rahsia kejayaan Mydin. “Adalah sangat penting untuk kita tahu apa yang kita buah, dan buat apa yang kita tahu. Kami sudah lama menceburi bidang peruncitan dan borong, dan kami berpegang kepada kepakaran kami”, jelas Datuk Ameer Ali.

Beliau juga memberitahu kita harus mempunyai kemahuan untuk berjaya, dan rajin serta bijak dalam berbuat sesuatu. Tiada apa yang datang bergolek, kita harus kuat bekerja dan berkorban masa bersama keluarga serta hidup kita. “Tak ada jalan mudah,”, tambahnya lagi.

Sumber: Iluminasi

Kisah Hidup Jim Carrey: Pesakit Disleksia yang menyinar di pentas Hollywood.

Kisah Hidup Jim Carrey: Pesakit Disleksia yang menyinar di pentas Hollywood.

Jim Carrey

Semestinya anda mengenali aktor kacak yang pernah popular dalam filem komedi The Mask. Ada saja gelagat Carrey yang membuat kita tak kering gusi. Antara yang terkesan di hati peminat ialah mimik muka beliau yang pelbagai. James Eugene Carrey dilahirkan pada 17 Januari 1962 di Ontario, Kanada. Seawal umur 15 tahun, Carrey sudah mula membuat stand-up comedy di sekitar Toronto. Pada 1978, Carrey mula bekerja sebagai cleaner di sebuah kilang bagi menyara keluarganya, Setahun selepas itu, beliau berhenti daripada kilang setelah dapat tawaran untuk membuat persembahan pembukaan untuk rancangan komedi popular di Amerika, Buddy Hackett and Rodney Dangerfield.

Carrey mula menempa nama di Hollywood apabila dipanggil untuk membintangi telemovie ‘Introducing……Janet’. Beliau juga telah muncul dalam program televisyen The Duck Factory and Jim Carrey’s Unnatural Act (1991) sehinggakan diberi tanggungjawab membawa watak utama dalam rancangan komedi yang hit di Amerika ketika itu, In Living Color. Ianya menjadi titik tolak kepada karier Carrey sehingga pada 1994, beliau dipanggil untuk membawa watak komedi dalam filem Ace Ventura: Pet Detective. Daripada situ, bakat besar yang ada dalam diri Carrey telah menarik minat pengarah dan penerbit di Hollywood. Mimik muka, meniru gaya dan physical brand yang ada pada Carrey membawa tuah apabila dia diundang untuk membintangi beberapa lagi filem komedi seperti The Mask (1994), Dumb andDumber (1994), Ace Ventura: When Nature Calls (1995), Batman Forever (1995), The Cable Guy (1996) dan Liar Liar (1997).

Namun di sebalik kejayaan beliau, ada cerita disebaliknya. Permulaan kisah beliau agak suram. Pada zaman awal persekolahan, Carrey menyifatkan dirinya sebagai seorang yang agak pendiam dan tiada kawan. Kemudian, beliau menyedari bahawa dia boleh mencari kawan dengan membuat orang ketawa. Dari situlah muncul pelbagai jenaka yang beliau reka. Akan tetapi tidak semuanya positif apabila guru kelasnya telah menulis di dalam kad laporan Carrey, ” Jim akan siapkan kerjanya dahulu, kemudian mula mengganggu semua rakannya di kelas”. Di rumah pula, beliau sangat terhibur dengan dirinya sendiri kerana suka membuat mimik muka di depan cermin.

Carrey mempunyai cita-cita yang tinggi dalam bidang komedi. Pada usia sepuluh tahun, beliau pernah menghantar resume kepada pelakon/komedian Carol Burnette, dengan harapan bakatnya digilap. Tetapi ianya tidak semudah yang disangka kerana usahanya itu hanya sia-sia. Beliau terpaksa bertarung dengan penyakit Dyslexia yang dialami untuk bersaing dengan pelajar normal yang lain. Carrey mempunyai kesukaran untuk membaca dan mengenalpasti setiap huruf dan memerlukan dia berusaha lebih dari orang normal bagi mengelakkan ketinggalan dalam pelajaran.

Bapa Carrey antara insan yang tidak pernah menghalang cita-cita beliau malah mendorong dan selalu memberi idea tentang jenaka kepadanya. Kadangkala, bapanya turut sekali melayan karenah gila-gila Carrey sehinggakan ibunya berang lalu mengurung Carrey didalam bilik. Ia tidak menjadi masalah buat beliau kerana masih ada cermin untuk dia berhibur.

Salah satu halangan yang dihadapi ialah wang. Mereka tinggal dikawasan perumahan kos rendah. Walaupun masih bersekolah di siang hari, Carrey memaksa dirinya untuk bekerja dikilang selama 8jam pada waktu malam. Beliau putus asa kerana tidak memahami apa yang diajar disekolah. Beliau juga tidak ramai kawan kerana takut mereka yang mengenalinya akan tahu tentang kehidupannya yang serba kekurangan. Kerana menyedari sekolah tidak membawa dia kemana-mana, Carry memutuskan untuk berhenti dari persekolahan pada umur 16.

Bapanya beranggapan, persekitaran mereka telah memberi kesan kepada pembesaran anak-anaknya lalu berpindah ke Kanada walaupun tanpa apa-apa pekerjaan menanti. Mereka tinggal dalam sebuah Volkswagen camper yang di parking di sebuah tapak perkhemahan selama lapan bulan.

Dapatkah anda bayangkan seorang remaja yang tidak menikmati masa mudanya, tidak berpendidikan, dan malu atas kemiskinan hidup yang dihadapi. Namun, perasaan rendah diri yang ada pada Carrey membuatkan dia sedar dan perlu berusaha lebih keras dari orang lain. Pemangkin kepada bakat luar biasa dalam diri beliau lahir dari desakan hidup yang memaksa dia mengambil risiko melakukannya.

Jim berkata dia sangat mempercayai dengan keajaiban. Pada masa lapangnya di Hollywood, dia akan memandu ke Muholland Drive, sambil menikmati permandangan bandar, beliau akan berkata “Semua orang nak bekerja dengan saya. Saya adalah seorang pelakon yang baik. Saya dapat semua jenis tawaran filem yang hebat”. Ternyata segala usaha dan tenaga Carrey berbaloi, selepas filem lakonannya Ace Ventura :Pet Detective, The Mask, dan Dumb & Dumber telah box office. Penerbit di Hollywood pula berani meletakkan bayaran sekurang-kurangnya 20 juta usd untuk satu filem. Tertanya ia sesuatu yang luar biasa dan boleh dibanggakan. Ketika ayahnya meninggal dunia, Carrey telah menulis sekeping cek bernilai 10 juta usd lalu meletakkannya di dalam keranda sebagai tanda penghormatan kerana bapa Carrey satu-satunya insan yang selalu menyokong dan memberi semangat kepada Carrey untuk menjadi seorang bintang komedi.

Jadi bagaimana pula dengan kita? Jika kita seorang yang lemah dalam akademik, jangan berputus asa kerana rezeki itu boleh datang dalam pelbagai bentuk. Yang penting usaha dan optimis dalam setiap apa yang dilakukan. Diharap perkongsian kali ini akan memberi inspirasi buat semua pembaca.

sumber: Jim Carrey Success Story – From Struggling Dyslexic to Comedy Movie Mogul / Iluminasi

Kisah Hidup Colonel Sanders dan Kentucky Fried Chicken

Kisah Hidup Colonel Sanders dan Kentucky Fried Chicken

Wajah Colonel Sanders yang terpapar pada logo, kotak dan visual KFC pasti mengingatkan kita tentang pengasas KFC iaitu Colonel Harland Sanders.Tahukah anda, Colonel Sanders merupakan peniaga yang hanya mampu merasai hidup selesa pada hujung usianya?

Kisah perjalanan Colonel Sanders mengembangkan perniagaannya patut memberikan inspirasi kepada anak-anak muda yang baru berjinak-jinak hendak memulakan perniagaan kerana kejayaan terbukti, tidak akan datang dengan mudah.

Awal Usia

Harland Sanders lahir pada 9 September 1890 di Indiana.

Harland mempunyai kehidupan awal yang susah selepas ayahnya meninggal dunia ketika usianya baru enam tahun dan dua adiknya yang masih kecil. Atas desakan hidup, ibunya terpaksa melakukan pelbagai kerja hanya untuk menampung keperluan hidup sementara Harland ditugaskan menjaga adik-adiknya di rumah, termasuklah menyiapkan adik-adiknya, mengemas rumah dan memasak.

Kemahiran memasaknya pula diasah dari kesempitan hidup yang dirasai.

Tidak cukup dengan itu, Harland telah mula bekerja pada umurnya 10 tahun untuk memastikan belanja rumah mencukupi. Pekerjaan pertama beliau adalah sebagai pembantu ladang dengan gaji 2 dollar sebulan. Mungkin bosan dengan pekerjaannya, pada usia 16 tahun, Harland memalsukan dokumen pengenalan diri lalu menyertai tentera.

Harland tidak kekal lama dalam tentera selepas ditugaskan di Cuba selama 3 bulan sebelum perkhidmatannya berkahir dan dia memulakan hidup di Alabama dengan melakukan pelbagai jenis pekerjaan bagi menampung hidup dan Harland juga pernah mencuba nasib sebagai peguam, sebelum bertumbuk dengan anak guamnya sendiri di dalam mahkamah. Dia juga pernah menjadi bidan bersalin kerana pada waktu itu, ramai orang tidak mampu mengupah doktor.

Menuju Kematangan

Harland akhirnya menemui kehidupan stabil sebagai pengusaha stesen minyak selama 6 tahun sebelum Amerika mengalami kemerosotan ekonomi teruk yang digelarkan ‘The Great Depression.’

Pada tahun 1930, ketika berusia 40 tahun, Harland tidak ada pendapatan tetap dan hampir-hampir muflis yang memaksanya ke sebuah daerah bernama Corbin di Kentucky. Di sana beliau mendapat kontrak dengan syarikat Shell untuk menguruskan sebuah stesen minyak yang baru dibina dan Shell membenarkan Harland serta keluarganya tinggal di situ.

Sayangnya Harland pada stesen minyak itu, apabila wujud sebuah lagi stesen minyak berdekatan yang dikendalikan oleh syarikat lain, dia berbalas-balas tembakan dengan pengusaha stesen tersebut atas dasar persaingan. Nasib menyebelahi Harland kerana lawannya yang melepaskan tembakan dahulu dan tidak ada pertuduhan dapat dibuat atas tindakannya.

Era Sanders Court and Cafe

Semakin hari semakin ramai pemandu yang berhenti mengisi minyak dan bertanyakan di mana lokasi yang menarik untuk makan. Melihat pemandu-pemandu yang menghadapi kesukaran mendapatkan makanan, Harland mula menjual makanan kepada pemandu yang singgah. Oleh kerana kekurangan tempat makan, semua pengunjung akan menggunakan meja makan keluarga Harland sebagai tempat menjamu selera.

Rumah Harland yang menyediakan makanan menyelerakan membuatkan makin ramai orang yang datang berkunjung semata-mata untuk makan. Menu yang dihidangkan mula mengalami proses penambahan- Harland mula menyiapkan steak, ham, telur, biskut dan yang paling terkenal, ayam goreng.

Melihat perniagaannya mula laris, Harland kemudiannya membeli sebuah motel berdekatan dan mengubahsuainya menjadi restoran yang mampu menempatkan 142 tetamu dalam satu masa dan menamakannya “Sanders Court and Cafe.”

Bergelar Colonel

Walau pun begitu, beliau masih menghadapi masalah apabila proses menyediakan ayam goreng agak perlahan sehinggakan pelanggan terpaksa menunggu lama. Ketika melawat kedai barang elektrik di sekitar daerah tersebut, Harland menemui ‘periuk tekanan’ yang mampu memasak ayam goreng dalam waktu yang lebih singkat.

Pada tahun 1935, Gabenor Kentucky yang bernama Ruby Laffoon, menganugerahkan pangkat Colonel pada Harland Sanders atas sumbangannya dalam mempopularkan hidangan masyarakat tempatan Kentucky.

Sejak dari hari itu, Harland Sanders mula dikenali dengan gelaran Colonel Sanders namun nasib tidak menyebelahi Colonel Sanders apabila pada awal 1950, lebuhraya baru dibina mengakibatkan orang ramai tidak lagi melalui jalan di mana restorannya berada.

Menyedari hakikat yang perniagaannya perlu berkembang ke luar, Colonel Sanders yang pada ketika itu sudah berusia 62 tahun, menjual semua asetnya dan mula berkelana mencari pengusaha yang mahu menggunakan resipi ayam goreng beliau untuk dijual di restoran mereka.

Kentucky Fried Chicken dan Hujung Usia

Restoran pertama yang bersetuju menjadi francais Colonel Sanders adalah sebuah hotel bernama Do Drop Inn yang terletak di Salt Lake City, Utah yang menjadi tapak pertama Kentucky Fried Chicken. Pada tahun 1952, Colonel Sanders berjaya menjual francaisnya kepada lebih 200 cawangan lain di serata Kanada dan Amerika Syarikat. Pada tahun 1964, Colonel Sanders menjual syarikat francaisnya dengan harga 2 juta dan hanya meneruskan tugasnya sebagai duta kepada Kentucky Fried Chicken sehinggalah penghujung hayatnya.

Colonel Sanders didapati menghidap penyakit leukimia pada Jun 1980 sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 16 Disember 1980 ketika berusia 90 tahun.

Sehingga tahun 2014, sebanyak 18,875 restoran Kentucky Fried Chicken telah dibuka di seluruh dunia.

Sumber: Iluminasi